OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Mangsa banjir di Melaka dijangka meningkat jika hujan lebat berulang malam ini

Mangsa banjir di Melaka dijangka meningkat jika hujan lebat berulang malam ini

JASIN: Jumlah mangsa banjir di Melaka dijangka meningkat sekiranya hujan lebat melebihi tiga jam berulang malam ini berikutan keadaan air pasang besar di sekitar perairan Selat Melaka.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim, berkata susulan itu pihaknya bersama agensi keselamatan lain kekal bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk menyediakan kemudahan bagi pemindahan mangsa banjir.

Beliau berkata, sehingga jam 4 petang tadi, seramai 225 mangsa daripada 65 keluarga dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS), masing-masing dua di daerah Melaka Tengah dan Jasin.

"Sekiranya hujan tertumpu di kawasan rendah, ada kemungkinan mangsa banjir akan bertambah tetapi kalau sekiranya hujan lebat dan berterusan lebih tiga jam di beberapa kawasan lain, berkemungkinan beberapa lagi PPS akan dibuka," katanya.

Beliau ditemui selepas mengiringi EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin melawat PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Merlimau di sini hari ini.

Dalam pada itu, APM memaklumkan setakat jam 4 petang tadi, seramai 150 mangsa daripada 46 keluarga ditempatkan di PPS SMK Dang Anum, manakala 19 lagi di PPS SMK Datuk Abdul Rahman Ya'kub (SDARY).

Selain itu, dua PPS di daerah Melaka Tengah iaitu di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Duyong dan PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim masing-masing menempatkan 33 dan 23 mangsa.

Banjir menjejaskan 17 kampung dan 15 taman perumahan di daerah Melaka Tengah serta sekurang-kurangnya dua kawasan kampung di daerah Jasin.

Antara kawasan terjejas di Melaka Tengah adalah di sekitar Kampung Pengkalan Rama, Kampung Chetty, Kampung Limbongan, Kampung Batu Berendam, Kampung Banda Hilir, Kampung Klebang Kecil dan Taman Gadong Perdana, manakala dua kawasan di Jasin adalah di Kampung Kilang Berapi dan Kampung Asam Kumbang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir melanda beberapa kawasan di Melaka esok selain amaran paras air laut pasang pada tahap waspada bermula malam ini.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search