Menangis tengok 'homestay' ranap
- Admin UKK
- Berita
Sekinchan: Pengusaha inap desa hanya mampu menangis apabila dua kediaman yang dijadikan 'homestay' di Kampung Parit Empat, di sini, musnah dilanda ribut, hari ini.
Norizan Mahari, 56, berkata, tiada apa mampu dilakukan apabila perniagaan yang diusahakan sejak empat tahun lalu terjejas dalam kejadian ribut itu.
"Saya dah ambil tempahan pelanggan sempena Aidilfitri ini. Tak tahu nak cakap apa kerana dua unit 'homestay' dan satu 'roomstay' rosak teruk terutamanya di bahagian bumbung.
"Walaupun kerugian hampir RM 8,000, saya reda kerana ini dugaan dari Allah SWT," katanya ketika ditemui, di sini.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, lapan kediaman di kampung itu musnah, namun tiada mangsa dilaporkan terbabit.
"Menjadi kebiasaan saya dan isteri duduk di rumah anak pada minggu pertama Ramadan dan kami bergegas pulang sebaik mengetahui berita itu.
"Sebaik tiba di rumah, perasaan sedih tidak terkata apabila melihat bumbung tercabut selain perabot dan barang elektrik rosak sepenuhnya," katanya.
Azman yang juga peniaga makanan berkata, dia terpaksa menanggung kerugian hampir RM 120,000.
"Rumah ini berusia 38 tahun dan warisan daripada ibu bapa saya. Boleh dikatakan setiap kali Aidilfitri, adik-beradik dan anak-anak akan berkumpul.
"Buat masa ini, berkemungkinan saya akan tinggal sementara di rumah anak kedua sambil memikirkan bagaimana untuk mencari sumber bagi membaiki rumah," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang, Nurul Syazwani Noh dan Adun Sungai Burong, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin turut melawat mangsa terjejas dan meluangkan masa selama kira-kira satu jam di lokasi kejadian.
Nurul Syazwani berkata, beliau meminta pihak berkaitan khususnya Kerajaan Selangor supaya membantu mangsa dengan kadar segera.