‘Rasa sedih tidak terkata’
- Admin UKK
- Berita
Awal Ramadan yang memasuki hari kelima hambar bagi penduduk Kampung Parit Empat, di sini, selepas lapan rumah musnah dilanda ribut, semalam.
Pada kejadian jam 7.30 pagi itu, tiada mangsa dilaporkan maut atau cedera.
Mangsa, Azman Mastol, 58, berkata, dia yang berada di rumah anak kedua di Putrajaya mengetahui bencana itu selepas dihubungi jiran.
“Menjadi kebiasaan saya dan isteri tinggal sementara di rumah anak pada minggu pertama Ramadan. Disebabkan ribut, kami bergegas pulang.
“Sebaik tiba di rumah, perasaan sedih tidak terkata apabila melihat bumbung tercabut selain perabot dan barang elektrik rosak,” katanya.
Azman yang juga peniaga makanan berkata, dia menanggung kerugian hampir RM120,000.
“Rumah ini berusia 38 tahun dan warisan daripada ibu bapa. Boleh dikatakan setiap kali Aidilfitri, adik-beradik dan anak berkumpul di sini.
“Buat masa ini, mungkin saya tinggal sementara di rumah anak kedua sambil fikir cara mencari sumber membaiki kediaman,” katanya.
Pengusaha inap desa, Norizan Mahari, 56, berkata, dia hanya mampu menangis apabila perniagaan diusahakan sejak empat tahun lalu terjejas akibat ribut.
“Saya ambil tempahan pelanggan sempena Aidilfitri ini. Tak tahu nak cakap apa kerana dua unit inap desa dan sebuah inap bilik rosak teruk, terutama bumbung. “Kerugian hampir RM8,000. Bagaimanapun, saya reda kerana ini dugaan Allah SWT,” katanya. Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Nurul Syazwani Noh dan Adun Sungai Burong Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin turut melawat mangsa.
Nurul Syazwani berkata, beliau memohon pihak berkaitan, khususnya Kerajaan Negeri Selangor segera membantu mangsa.
“Tak tahu nak cakap apa kerana dua unit inap desa dan sebuah inap bilik rosak teruk Norizan.