Hujan, salji reda kebimbangan kebakaran hutan terburuk di Jepun
- Admin UKK
- Berita
OFUNATO: Hujan dan salji yang melanda wilayah ini memberi harapan baru kepada Jepun yang kini berdepan dengan kebakaran hutan terburuk sejak 50 tahun lalu.
Kebakaran hutan itu menyebabkan seorang maut manakala kira-kira 4,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka yang menjejaskan kawasan sekitar bandar utara Ofunato di wilayah Iwate sejak seminggu lalu.
Setakat ini, kebakaran hutan di Jepun memusnahkan kira-kira 2,900 hektar tanah menjadikannya kebakaran hutan terbesar pernah dicatatkan sejak 1975, apabila 2,700 hektar terbakar di Hokkaido.
Petani rumpai laut dan tiram, Mitsuo Otsubo, 85, yang melarikan diri ke rumah saudara untuk berlindung berkata, kebakaran hutan itu adalah luar biasa dan beliau tidak pernah mengalaminya sebelum ini kerana api menjulang tinggi dan merebak dengan pantas.
"Tiada langsung hujan atau salji turun pada tahun ini, tetapi syukur hari ini hujan. Saya harap ia dapat membantu mengawal keadaan," katanya.
"Angin bertiup kencang dan saya sangat terkejut hingga degupan jantung saya menjadi tidak menentu," katanya. Wartawan AFP melaporkan, kepulan asap putih kelihatan naik dari kawasan pergunungan ketika hujan dan salji turun hari ini.
Ramalan cuaca menjangkakan keadaan basah akan berterusan sehingga esok. Menurut penguatkuasa tempatan, anggota bomba bertugas sepanjang malam.
"Kami berharap salji yang mula turun pagi ini dapat membantu keadaan," katanya.