Kebakaran ladang kelapa Gebeng merebak 130 hektar kawasan
- Admin UKK
- Berita
KUANTAN: Kebakaran kawasan ladang kelapa di belakang Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) Gebeng di sini sejak 22 Februari lalu, meningkat kepada 130 hektar hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim berkata, kebakaran kembali merebak sejak kelmarin, susulan daripada angin kencang dan cuaca panas di kawasan terbabit.
Katanya, ketiadaan hujan di kawasan terbabit menambah lagi kesukaran dalam operasi pemadaman yang turut membabitkan pengeboman air yang dilakukan dengan menggunakan sebuah helikopter.
"Sebenarnya, kebakaran sudah terkawal dan hampir padam Jumaat lalu namun angin kencang pada Sabtu dan kelmarin menyebabkan kebakaran kembali merebak.
"Setakat ini, seluas 91.9 hektar berjaya dipadamkan manakala baki 78.6 hektar sedang diusahakan.
"Pada masa sama, kita menangguhkan operasi pemadaman pada waktu malam untuk mengelakkan risiko kemalangan.
"Alhamdulillah setakat ini tiada kemalangan membabitkan anggota bomba dan kita mendapat kerjasama penuh daripada kerajaan negeri, Pejabat Daerah Kuantan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP)," katanya ditemui media di lokasi kebakaran.
Beliau berkata, lebih 70 anggota daripada 11 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di zon satu terbabit dalam operasi pemadaman.
Katanya, jika keadaan memerlukan, jumlah anggota bomba akan ditambah termasuk mendapatkan bantuan daripada anggota negeri berhampiran.
"Susulan kebakaran ini, saya menasihati masyarakat supaya tidak melakukan kebakaran terbuka atau aktiviti yang boleh menyebabkan risiko kebakaran pada musim panas ini," katanya.