OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Filipina, Malaysia perkukuh hubungan pertahanan

Filipina, Malaysia perkukuh hubungan pertahanan

MANILA, 27 Feb: Jabatan Pertahanan (DND) Filipina pada Khamis mengumumkan bahawa Filipina dan Malaysia mengesahkan komitmen mereka untuk memperkukuh hubungan pertahanan, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Jurucakap DND, Penolong Setiausaha Arsenio Andolong dalam satu kenyataan berkata perkara itu dibincangkan semasa pertemuan antara Setiausaha Pertahanan Filipina Gilberto Teodoro Jr. dan Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di luar sesi Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di Pulau Pinang pada Rabu.

Kedua-dua pemimpin membincangkan isu pertahanan utama dan berikrar untuk meningkatkan kerjasama keselamatan antara kedua-dua negara.

“Ketika perbincangan, kedua-dua pihak mengulangi komitmen untuk memperkukuh hubungan pertahanan, khususnya keselamatan maritim, usaha memerangi keganasan serta program pembangunan kapasiti.

“Mereka turut mengalu-alukan kerjasama membabitkan pembangunan modal insan, terutamanya keselamatan siber bagi meningkatkan daya tahan terhadap pengaruh serta campur tangan yang berbahaya,” kata Andolong.

Dalam pertemuan itu, Teodoro turut menyampaikan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas respons pantas dalam memberikan bantuan kepada Filipina selepas negara itu dilanda enam taufan berturut-turut tahun lepas.

“Ketua pertahanan Filipina menekankan bahawa bencana alam menyebabkan pemindahan besar-besaran, sekali gus menuntut usaha berterusan untuk meningkatkan keupayaan bantuan kemanusiaan dan tindak balas bencana secara individu dan kolektif.

“Beliau juga menekankan kepentingan peranan kumpulan serantau seperti ASEAN dalam mempercepatkan tindak balas ketika krisis,” katanya.

Meskipun terdapat pertikaian wilayah antara Filipina dan Malaysia, Teodoro menegaskan bahawa kedua-dua negara terus bekerjasama secara diplomatik dan konstruktif, membolehkan mereka membincangkan isu-isu kritikal yang lain.

Ketua DND itu turut menekankan keperluan untuk memperkukuh hubungan antara negara anggota ASEAN bagi menjamin keselamatan serta kestabilan serantau.

Kedua-dua pemimpin itu bersetuju mengenai kepentingan negara ASEAN untuk saling menyokong dan menyatakan komitmen untuk meneroka lebih banyak peluang kerjasama pada masa depan.

Teodoro juga merakamkan penghargaan kepada Mohamed Khaled dan kerajaan Malaysia atas layanan mesra yang diberikan kepada beliau serta delegasi Filipina.

Beliau turut menegaskan arahan Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr. agar memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Malaysia dalam ASEAN tahun ini. -TVS

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search