Kerajaan tubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Pencemaran urus punca tidak tetap
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR 27 Feb: Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Pencemaran bagi menguruskan punca tidak tetap (NPS) di setiap negeri di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1970.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata jawatankuasa yang diketui oleh Jabatan Alam Sekitar itu akan ditubuhkan bersama dengan agensi di peringkat persekutuan dan negeri.
“Fokus mereka adalah untuk memastikan setiap negeri mengambil tindakan NPS dapat ditangani,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan 2025, di sini, semalam.
Sementara itu, Fadillah memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran akan menyemak semula kesesuaian Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 untuk kawasan-kawasan empangan.
Jelas beliau, keperluan untuk menyemak semula itu adalah bagi membenarkan beberapa kawasan dibangunkan unutk menjadi kawasan riadah.
“Kawasan empangan digazetkan sebagai kawasan terkawal maknanya orang luar tidak boleh masuk tetapi kita ingin menyemak semula.
“Jawatankuasa yang dipengerusikan JPS akan dibawa ke peringkat negeri,” katanya. – TVS