Peralihan monsun: JPN Kelantan saran sekolah ambil langkah berjaga-jaga
- Admin UKK
- Berita
KOTA BHARU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menyarankan semua sekolah di negeri ini memastikan pelajar mengambil langkah berjaga-jaga dalam tempoh peralihan monsun bulan depan bagi mengelak sebarang komplikasi kesihatan.
Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah JPN negeri Mat Lazim Mohamad berkata ia termasuk menggalakkan para pelajar memakai pelitup muka dan minum air yang mencukupi sepanjang sesi persekolahan berlangsung.
“Kelantan dijangka akan mula mengalami cuaca panas apabila peralihan monsun berlaku, jadi kita galakkan sekolah mengambil langkah awal atasi masalah ini.
“Hal ini kerana cuaca panas akan mendedahkan para pelajar kepada habuk yang mungkin boleh menjejaskan kesihatan mereka seperti demam, selsema dan batuk,“ katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail 1, di sini hari ini.
Sementara itu Mat Lazim berkata 22 sekolah yang terjejas akibat banjir tahun lepas dapat beroperasi seperti biasa pada hari pertama sesi persekolahan hari ini.
“Bagi sekolah di kawasan yang terjejas banjir, persiapan awal telah dilakukan dengan kita sediakan peralatan pembelajaran yang secukupnya.
Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Husin berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang arahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mewajibkan pelajar memakai pelitup muka ketika berada di sekolah.
“Kita kena tengok justifikasi untuk mengarahkan pelajar berbuat demikian. Setakat ini tiada arahan dari KKM kepada pihak sekolah mengenainya.Bagaimanapun kita akan tengok keadaan ini dari semasa ke semasa.
“Bagi mereka yang bergejala serta mempunyai simptom, mereka dinasihatkan untuk mengamalkan pemakaian pelitup muka,“ katanya selepas Program Sambutan Hari Kanser Sedunia 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Hospital Raja Perempuan Zainab II hari ini.