NADMA sumbang set barang keperluan asas kepada JPBB untuk mangsa banjir Bintulu
- Admin UKK
- Berita
BINTULU: Sejumlah 2,500 set barang keperluan asas telah disumbangkan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu (JPBB) untuk mangsa banjir di Bintulu pada semalam.
Sumbangan kotak Misi Bantuan Bencana GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN) Sarawak melalui NADMA itu telah diterima oleh Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Abang Zainuddin Abang Turkey yang mewakili Residen Bahagian Bintulu merangkap Pengerusi JPBB Datu Nyurak Keti di Naim Paragon Bintulu.
Turut menyaksikan penerimaan sumbangan itu ialah Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammad Nizam Awang Ali Borhan; Ketua Pengarah Eksekutif -RED A Humanitarian Development Global, Datin Azura Ibrahim; Ketua Komuniti dan Pembangunan Negara Yayasan TM, Datin Noorul Syifa Mohd Isa; Ketua Perkongsian Yayasan Hasanah, Raja Nor Dianna Raja Harun; Pengurus GDRN Yayasan Hasanah, Aizuddin Arshad dan Pengurus Besar Petronas Sarawak, Norazibah Md Rabu.
"Setiap penerima akan menerima satu set kotak dengan barangan didalamnya serta satu selimut tebal Narita," kata jurucakap penganjurnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, antara jenis-jenis barangan yang disumbangkan ialah cerek elektrik, periuk nasi, dua selimut, dua tuala, dua sarung untuk setiap penerima.
Sumbangan yang diterima tersebut di bawah Misi Bantuan Bencana GDRN Sarawak itu adalah daripada CIMB Foundation, Khazanah Nasional, KWAP, Tabung Haji, Malaysia Airports, Maskargo, Maskargo Logistics, Maybank, PNB, Yayasan Hasanah, Yayasan PETRONAS, Yayasan Sime Darby, Yayasan TM dan Yayasan UEM dengan kerjasama RED A Humanitarian Development Global.