Kerosakan cecah ratusan juta ringgit
- Admin UKK
- Berita
Kerosakan infrastruktur awam akibat banjir luar biasa yang melanda Sarawak sejak 29 Januari lalu dianggarkan mencecah ratusan juta ringgit.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, anggaran itu diperoleh hasil laporan awal yang dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, malam kelmarin.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, kerugian dan kerosakan yang ditanggung oleh isi rumah dan sektor swasta juga mencecah angka sama.
“Sembilan bahagian yang terjejas banjir di Sarawak sudah mengemukakan penilaian mereka kepada JPBN mengenai kerosakan harta benda awam dan swasta akibat banjir,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, semalam.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Timbalan Premier yang juga pengerusi JPBN, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.