OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Keadaan banjir di Sarawak beransur pulih

Keadaan banjir di Sarawak beransur pulih

KOTA SAMARAHAN - Keadaan banjir di Sarawak kini beransur pulih dengan 12 pusat pemindahan sementara (PPS) telah ditutup setakat malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang juga Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, baki 63 PPS lagi masih dibuka melibatkan sejumlah 12,306 mangsa daripada 3,687 keluarga di seluruh negeri ini.

"Nampaknya keadaan sudah bertambah baik, terima kasih kepada semua jentera JPBN yang bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa, syukur kebanyakan mangsa sangat berkerjasama untuk berpindah,” katanya selepas mengadakan lawatan ke PPS Kampung Sampun Tebun, Asajaya di sini.

Uggah berkata, JPBN akan terus bersiap siaga sekiranya berlaku air pasang besar pada bila-bila masa dengan berpegang teguh kepada arahan Nombor 1 Majlis keselamatan Negara (MKN).

"Semua agensi mesti berada dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Ini bermakna persiapan dari segi peralatan, tenaga kerja, dan bekalan makanan semua perlu disediakan. Kita doa tiada banjir lagi tetapi kita tetap berjaga-jaga untuk apa jua keadaan.

"Di Sarawak, kita bertuah kerana ada perkhidmatan radio percuma di kawasan pedalaman seperti Long Busang, badan bukan kerajaan (NGO) yang berada di sana menjadi penghubung kami. Jika ada apa-apa berlaku mereka akan menghubungi sekretariat," katanya.

Berkenaan bantuan berjumlah RM1,000 kepada mangsa banjir, Uggah menegaskan mangsa yang tidak berpindah ke PPS perlu melaporkan kepada pejabat residen untuk membolehkan petugas menilai keadaan dan bantuan disalurkan kepada mereka. - Bernama

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search