37,000 anggota pelbagai agensi urus banjir di Sabah, Sarawak
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Lebih 37,000 anggota daripada pelbagai agensi dikerahkan bagi membantu pengurusan banjir di Sabah dan Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sebanyak 526 aset digunakan, termasuk 214 aset laut/sungai, 15 aset udara dan 269 aset sokongan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, berkata seramai 23,000 kakitangan agensi awam bertugas membantu mangsa banjir di Sarawak, manakala 14,209 orang di Sabah.
Setakat jam 5 petang semalam, katanya, 12,862 daripada 3,771 keluarga masih berada di 65 pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh Sarawak.
Ahmad Zahid berkata, proses pendaftaran dan pengesahan mangsa banjir dipermudah dan disegerakan bagi mengelakkan kelewatan pembayaran Bantuan Wang Ihsan.
“Saya akan meminta pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku urus setia kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) supaya terus memantau tahap kesiapsiagaan semua agensi terbabit di semua peringkat untuk menghadapi bencana,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai diingatkan bersedia dengan beg kecemasan dan segera berpindah ke PPS apabila diarahkan.
“Pusat Kawalan Bencana Negara yang beroperasi 24 jam setiap hari akan sentiasa memantau dan melaporkan keadaan semasa,” katanya.
Pulih daripada banjir Kota Kinabalu BERNAMA melaporkan, Kota Marudu, Kota Belud dan Telupid diisytiharkan pulih daripada banjir semalam dan semua penduduk yang terjejas di ketiga-tiga daerah itu dibenarkan pulang.
Pengisytiharan itu dibuat Pegawai Daerah Kota Marudu, Meirin Sugara; Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jiton dan Pegawai Daerah Telupid, Celestine Jetony. Mereka ialah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah masing-masing.