OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Pencemaran bau tinja, ladang penternakan ayam pedaging diarah tutup serta-merta

Pencemaran bau tinja, ladang penternakan ayam pedaging diarah tutup serta-merta

HULU SELANGOR: Sebuah ladang penternakan ayam pedaging di Batang Kali di sini, diarah tutup serta-merta Jumaat lalu, selepas gagal mengatasi kacau ganggu pencemaran bau tinja.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) berkata, pihaknya sebelum ini menerima aduan berhubung perkara terbabit daripada orang awam.

"Hasil siasatan menemukan longgokan tinja ayam yang banyak.

"Tinja ayam terbabit dikeluarkan daripada enam reban yang dikosongkan baru-baru ini apabila pengeluaran ayam pedaging dibuat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk rekod sebelum arahan penutupan dilakukan, MPHS berkata, pihaknya sudah mengeluarkan notis arahan kepada pemilik ladang supaya menghapuskan kacau ganggu pencemaran bau, pada 10 Januari lalu.

Menurutnya, pemilik juga dinasihatkan agar menguruskan longgokan tinja ayam dengan betul selaras dengan peraturan yang berkuatkuasa.

"Semasa pemantauan pada Sabtu lalu, didapati pemilik ladang masih gagal menghapuskan pencemaran bau selain melanggar arahan penutupan iaitu membawa masuk kira-kira 80 ribu anak-anak ayam baru ke dalam reban.

"Susulan kegagalan berterusan mematuhi arahan, maka MPHS mengeluarkan kompaun kerana kegagalan pemilik yang tidak mematuhi arahan," katanya.

Sehubungan itu, MPHS memanjangkan perkara itu kepada Jabatan yang bertanggungjawab memberi lesen unggas kepada ladang penternakan ayam pedaging.

"Semua pemilik diingatkan supaya mematuhi garis panduan pengurusan ladang ayam yang lestari khususnya berkaitan pengurusan tinja.

"Hal ini penting bagi mengelakkan berlakunya pencemaran bau yang boleh menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk sekitar serta bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar khususnya sumber air," katanya.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search