Jasmin panik LA terbakar lagi
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Kebakaran baharu hutan di utara Los Angeles, Amerika Syarikat, Rabu lalu mencetuskan perasaan panik kepada pelakon, Jasmin Suraya Chin, 36, yang kini berada di sana.
"Bagaimanapun semua orang terkejut bagaimana boleh terbakar lagi? Hari ini saya tak henti-henti dapat pemberitahuan terkini kebakaran.
"Dari 10 ekar, api dah merebak jadi 11,000 ekar. Jadi, saya kenalah peka dengan benda-benda begini. Saya dah fobia dah sejak hari (kebakaran) itu," katanya.
Kebakaran kali kedua ini berlaku di sekitar tasik yang terletak kira-kira 56 kilometer di utara Los Angeles dan berhampiran dengan bandar Santa Clarita.
Arahan pemindahan juga turut dikeluarkan kepada 31,000 penduduk di kawasan itu.
Menurut pelakon filem Paskal ini, apabila melihat berita kejadian kebakaran kedua, perasaan panik semakin bertambah.
"Memanglah terkejut sampaikan kawan saya kemaskan pakaian untuk pindah ke Miami. Esok pagi penerbangan dia.
"Saya pun terfikir-fikir juga kalau nak pergi tempat lain sementara waktu ini. Saya masih ada kelas dan tak cuti.
"Saya juga akan balik Malaysia untuk bercuti pada April nanti. Saya sangat rindukan tanah air terutama makanan yang sedap-sedap," katanya.
Jasmin yang kini menyambung pengajian di akademi lakonan, Lee Strasberg Theatre & Film Institute di Los Angeles membayangkan mengambil kesempatan semasa cuti hampir tiga bulan ini.
"Pengurus saya sedang membincangkan perkara ini dengan produksi," katanya.