Air mata saksi dinding rumah runtuh dibadai ombak
- Admin UKK
- Berita
ROMPIN: Seorang warga emas tidak mampu menahan air mata melihat dinding rumahnya merekah sebelum runtuh dibadai ombak di depan mata.
Hamdan Mohid, 60, berkata lantai rumahnya turut pecah dihempas ombak tanpa henti.
"Saya kerugian RM40,000 akibat kerosakan rumah dan harta benda lain," katanya di sini, kelmarin.
Kediamannya di Kampung Jawa, dekat sini antara tiga rumah yang rosak akibat fenomena air pasang besar dan angin kencang minggu lalu berikutan Monsun Timur Laut (MTL).
Hamdan berkata, air pasang besar dan angin kencang selama tiga hari memusnahkan rumahnya dan menumbangkan 10 pokok kelapa di kawasan itu.
Katanya, fenomena air pasang besar berlaku hampir setiap tahun namun kali ini lebih besar dan luar biasa.
"Mungkin sebab angin kuat berterusan dan ombak juga kuat selama beberapa hari.
"Air pasang besar dan ombak besar mula melanda jam 9 malam, kira-kira sejam kemudian air laut sampai ke rumah.
"Tiga jam selepas itu, rumah saya runtuh dipukul ombak.
"Melihat ombak semakin kuat dan paras air laut luar biasa, saya bawa keluarga meninggalkan rumah untuk menyelamatkan diri.
Beliau menetap di Kampung Jawa sejak 15 tahun lalu manakala rumahnya terletak kira-kira 100 meter dari pantai.
Setiap tahun, jarak rumahnya semakin hampir dengan pantai kerana hakisan.
Air pasang besar dan ombak kuat turut memusnahkan jalan tar di hadapan rumah.
Hamdan dan keluarganya kini menyewa rumah penduduk kampung buat sementara.
"Dengan pendapatan tidak seberapa kerja kampung, saya tidak pasti sampai bila boleh menyewa rumah dengan kadar RM500 sebulan," katanya.