Kebocoran penapis disyaki punca letupan sebuah kilang di Bintulu
- Admin UKK
- Berita
KUCHING: Kebocoran 'flauge gasket' atau penapis disyaki sebagai punca letupan gas hidrogen sebuah kilang di Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju, Irwin Abidin berkata ia hasil daripada pemeriksaan awal yang dilakukan pengawal keselamatan kilang terbabit.
"Keluasan lokasi kejadian adalah 35 meter persegi dan radius kerosakan akibat letupan adalah empat meter persegi.
"Tiada letupan yang melibatkan paip atau kapal. Letupan hanya mengakibatkan kerosakan pada 'shelter panel wall', " katanya.
Irwin berkata sepasukan anggota diarahkan ke lokasi letupan sejurus pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.01 malam.
Katanya, setibanya di lokasi pada jam 11.05 malam, pihak kilang memaklumkan berlaku satu letupan di PS1 A1 Section tingkat lapan bangunan kilang OCiM Sdn Bhd Samalaju.
"Komander operasi mendapatkan maklumat awal dari pihak kilang untuk mengenal pasti punca letupan itu seterusnya membuat pemeriksaan dan penilaian risiko akibat dari letupan.
"Tiada operasi dijalankan dan anggota hanya membuat pemantauan serta mengambil maklumat dari pihak kilang berkaitan letupan itu.
"Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.
Irwin berkata punca sebenar letupan masih dalam siasatan.
Katanya, operasi kilang itu diteruskan seperti biasa kecuali lokasi kejadian ditutup bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.