Penduduk bimbang tebing sungai runtuh
- Admin UKK
- Berita
SETIU - Penduduk Kampung Baru Seberang Binjai di sini meluahkan kebimbangan berikutan masalah hakisan tebing Sungai Guntung yang semakin meruncing selepas gelombang kedua banjir melanda Oktober tahun lalu.
Seorang penduduk, Yahya Ahmad, 58, berkata, masalah itu bertambah buruk apabila sebahagian jalan raya menghubungkan kampung tersebut dengan Kampung Guntung Luar telah runtuh.
Menurutnya, kebanyakan penduduk terutama mereka yang kerap menggunakan laluan di situ bimbang ditimpa kemalangan kerana keadaan laluan pada waktu malam agak gelap.
"Buat masa ini terdapat papan tanda diletakkan di kawasan jalan yang runtuh dan bahagian kaki lima sebelah kiri jalan turut di tambun batu untuk dijadikan lencongan jalan sementara waktu.
"Jadi penduduk kampung gesa pihak berwajib segera ambil langkah berkesan bagi mengatasi masalah ini," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Baru Seberang Binjai di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Yahya memberitahu, masalah hakisan tebing sungai di kawasan situ bermula sejak lima tahun lalu dan kini keadaannya bertambah buruk.
"Sebelum ini, laluan air sungai ini agak sempit tapi disebabkan masalah hakisan, ia bertambah luas sehingga tebingnya sampai ke kebun penduduk berdekatan.
"Kini jarak sungai dengan darat semakin dekat tinggal 300 meter sahaja," ujarnya.
Seorang lagi penduduk Azizah Yusoff, 53, berkata, dia dan suami terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit selepas pokok kelapa sawit yang diusahakan berdekatan sungai musnah.
Menurutnya, lebih 10 pokok kelapa sawit di kebunnya telah tumbang dan kebanyakan pokok-pokok itu telah mula mengeluarkan hasil.
"Kira-kira 0.2 hektar tanah di kawasan itu telah runtuh menyebabkan pokok-pokok kelapa sawit yang ditanam di kawasan berdekatan terbalik dan hanyut di bawa arus.
"Jadi kita harap pihak berkaitan dapat mengambil langkah dan mencari kaedah penyelesaian lebih berkesan bagi mangatasi masalah hakisan sungai yang membelenggu penduduk kawasan ini," ujarnya.
Sementara itu, Alias Ahmad, 60, berkata, penduduk yang tinggal di kawasan itu kesal kerana masalah hakisan sungai tersebut belum mendapat perhatian mana-mana pihak.
"Belum ada sebarang tindakan diambil seperti mendalamkan lagi sungai sejak sebahagian kawasan tebing sungai ini runtuh lebih dua bulan lalu.
"Kita harap dengan adanya aduan ini, ia mendapat perhatian pihak bertanggungjawab," ujarnya.