Jambatan Bailey bantu tingkatkan kemudahan infrastruktur luar bandar
- Admin UKK
- Berita
MIRI, 11 Jan: Pembinaan jambatan panel keluli bermodular atau jambatan bailey merupakan pendekatan penting bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jambatan tersebut bukan sahaja memacu pembangunan infrastruktur tetapi juga berfungsi sebagai langkah strategik untuk meningkatkan daya tahan kawasan luar bandar dalam menghadapi cabaran perhubungan.
“Saya berharap majlis hari ini dapat memberikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pemahaman yang lebih mendalam mengenai keperluan hubungan jalan raya bagi komuniti luar bandar kita.
“Majlis ini adalah langkah awal untuk mengukuhkan kerjasama kita, dan saya percaya usaha bersama kita akan terus membantu rakyat Sarawak dalam pemulihan daripada bencana dan meningkatkan daya tahan infrastruktur,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala pada Majlis Penyerahan Jambatan Keluli Bermodular di Depot JKR Bekenu, hari ini.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) turut menyentuh mengenai masalah jambatan kayu balak yang uzur di kawasan Baram.
Menurutnya, penggantian jambatan tersebut merupakan keutamaan untuk menyambung semula akses yang terputus akibat kelemahan infrastruktur terdahulu.
“Penggantian jambatan di Sungai Bale hanya satu daripada pelbagai isu infrastruktur kritikal yang kita hadapi di Baram. Banyak jambatan kayu balak dan culvert di sepanjang jalan bekas pembalakan memerlukan penggantian segera,” ujarnya.
Sebagai persediaan untuk pemasangan jambatan tersebut, seramai 22 kakitangan akan menjalani latihan di JKR Putatan, Sabah dari 13 hingga 19 Januari 2025.
Latihan tersebutpenting bagi memastikan keselamatan dan kecekapan pemasangan jambatan di Sarawak.
Majlis hari ini turut melibatkan kerjasama erat antara NADMA, Profaz Maju Niaga Sdn Bhd, Lembaga Pelabuhan Miri, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kerja Raya Miri dan pelbagai agensi lain yang terlibat dalam menjayakan penghantaran dan pemasangan jambatan tersebut.-TVS