Beberapa daerah diramal bah gelombang kedua
- Admin UKK
- Berita
Belumpun reda banjir di Johor dengan mangsa kini meningkat melebihi 3,000 orang, beberapa daerah di negeri itu diramal dilanda gelombang kedua bencana itu antara Rabu hingga Sabtu ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ia berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) yang dimaklumkan ketika taklimat banjir sewaktu meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) di sini, semalam.
“Metmalaysia memaklumkan gelombang kedua hujan berterusan dijangka berlaku di Johor pada 15 hingga 18 Januari ini.
“Justeru, saya menyeru seluruh Bangsa Johor supaya terus waspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, supaya usaha pengurusan banjir di negeri ini berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan di Facebook, semalam.
Portal Bencana NADMA melaporkan sehingga jam 7 petang semalam, sebanyak 3,779 mangsa di Johor; Kedah (51); Terengganu (34) dan Perak (31).
Mereka daripada 1,115 keluarga yang berlindung di 39 PPS di empat negeri terbabit.
Di Johor, daerah yang terbabit banjir ialah Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai, Pontian dan Kluang; Kuala Muda di Kedah; Kemaman di Terengganu dan Manjung di Perak.
Sementara itu, penduduk daerah ini yang ditemui melahirkan kebimbangan mereka susulan ramalan berlakunya gelombang kedua banjir itu.
Penduduk Taman Mawai, Rahizat Abdul Rahim, 49, berkata beliau bersama mangsa banjir di PPS turut tidak dibenarkan pulang ke rumah semula walaupun keadaan banjir sudah surut susulan gelombang kedua yang bakal melanda.
Katanya, pengurusan PPS memaklumkan bahawa hujan lebat berterusan dijangka bakal berulang semula mulai esok dengan banjir gelombang kedua
dijangka berlaku.
“Pihak berkuasa di PPS meminta semua mangsa banjir di yang ditempatkan di sini tidak pulang ke rumah susulan risiko gelombang kedua dengan jangkaan
paras air lebih tinggi.
“Apatah banjir kali ini naik dengan pantas serta berarus deras dibimbangi akan menyukarkan proses pemindahan jika penduduk dibenarkan balik.
“Oleh itu, kami terpaksa bersiap sedia dengan pulang sebentar ke rumah untuk mengemas barang-barang bagi dinaikkan ke tempat lebih tinggi,” katanya.