Fenomena banjir air pasang besar jejaskan penduduk
- Admin UKK
- Berita
Lebih 100 penduduk Taman Sri Teluk, Kampung Teluk Bayu di sini, terpaksa berdepan dengan fenomena banjir air pasang besar yang berlaku petang kelmarin.
Kejadian ribut disertai air pasang besar dipercayai berlaku pada jam 5 petang sebelum ombak kembali reda pada jam 10 malam.
Tinjauan di kawasan perumahan berkenaan semalam mendapati kerja menutup sistem perparitan dilakukan menggunakan jentolak untuk mengelakkan banjir air pasang dijangka kembali berulang.
Seorang penduduk, Zulkifli Deraman, 53, berkata, kawasan rumahnya dinaiki air pasang setinggi satu meter berikutan kedudukan rumahnya lebih hampir dengan parit berkenaan.
Menurutnya, sebelum ini sistem perparitan itu digali pada 2014 untuk mengalirkan air banjir termenung di kawasan perumahan ke laut.
“Namun lama-kelamaan bahagian hujung parit berkenaan tertutup dengan timbunan pasir dibawa ombak ke kawasan pantai.
“Dalam kejadian semalam ketinggian ombak melepasi parit menyebabkan air laut masuk ke dalam parit sebelum mengalir ke kawasan perumahan,” katanya ketika ditemui di Taman Sri Teluk, Kampung Teluk Bayu di Kuala Besut, semalam.
Menurutnya, inisiatif menggali semula parit untuk mengalirkan air banjir ke laut serta membuat sekatan serta menutup sistem perparitan dilakukan dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut Azbi Salleh.