Bah di Kelantan, Terengganu beransur pulih
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu beransur pulih dengan pengurangan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS), manakala Johor kembali dilanda bencana alam itu akibat hujan lebat semalam.
Di Kelantan, jumlah mangsa banjir menurun kepada 623 orang setakat 4 petang semalam, berbanding 882 pada sebelah pagi dan daripada jumlah itu 621 ditempatkan di sembilan PPS di Tanah Merah, sementara dua lagi di PPS di Kuala Krai.
Sementara itu, portal infobanjir.water.gov.my memaklumkan Sungai Golok di Rantau Panjang melepasi paras bahaya iaitu 9.0 meter (m).
Di Terengganu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa di daerah Besut menurun kepada 238 orang setakat 4 petang, berbanding 651 orang pada 8 sebelah pagi.
Sementara itu, semakan di Portal Public Infobanjir mendapati paras air di Sungai Telemong di Kuala Ping (F1), Hulu Terengganu dan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu melebihi paras amaran.
Di Johor, sebanyak 12 orang dari Kampung Baru Sungai Mas dalam daerah Kota Tinggi yang terjejas, kini ditempatkan di PPS Dewan Kampung Baru Sungai Mas.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam kenyataan memaklumkan paras Sungai Ulu Pontian Besar di
Kampung Melayu Bukit Batu, Kulai berada pada paras waspada dengan bacaan 11.49 m.
“Tiga daerah dilaporkan hujan petang ini (semalam) iaitu Mersing, Kluang dan Tangkak, manakala empat daerah mendung iaitu Muar, Segamat, Kota Tinggi dan Kulai sementara keadaan di Johor Bahru, Pontian dan Batu Pahat cerah,” katanya.