Dua jalan utama terputus
- Admin UKK
- Berita
Fenomena banjir melanda Kelantan sejak kelmarin terus membawa cabaran besar apabila berlaku dua kejadian tanah runtuh dan dua jalan utama terputus di jajahan Machang.
Insiden ini bukan sahaja melumpuhkan pergerakan penduduk setempat, tetapi juga meningkatkan risiko keselamatan di kawasan berkenaan.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan Nik Soh Yaacoub berkata dua jalan yang terputus ialah jalan Persekutuan di FT 479 Jalan Kemuning–Bukit Belah dan jalan Negeri D16 Jalan Batu 30–Temangan akibat dinaiki air.
Beliau berkata kesemua jalan yang terputus itu tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan berat dan ringan kerana kedalaman air kira-kira 0.8 meter.
“Dua kejadian tanah runtuh pula berlaku di jalan masuk ke stesen VHF Bukit Bakar dan FT 008 jalan Kota Bharu–Gua Musang berdekatan dengan Dataran Bukit Belah,” katanya.
Nik Soh berkata pengguna boleh menggunakan laluan alternatif dan melayari laman web https://bencana.jkr.gov.my/ untuk mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai situasi semasa, seperti jalan tutup dan tanah runtuh yang berlaku di kawasan terlibat.