OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Tanah runtuh, jalan terputus di Machang akibat banjir

Tanah runtuh, jalan terputus di Machang akibat banjir

KOTA BHARU: Fenomena banjir di Kelantan sejak semalam terus membawa cabaran besar apabila berlaku dua kejadian tanah runtuh dan dua jalan utama terputus di jajahan Machang.

Insiden ini melumpuhkan pergerakan penduduk setempat dan meningkatkan risiko keselamatan di kawasan berkenaan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Nik Soh Yaacoub, berkata dua jalan terputus ialah Jalan Persekutuan di FT 479 Jalan Kemuning-Bukit Belah dan jalan Negeri D16 Jalan Batu 30-Temangan akibat dinaiki air.

Semua jalan yang terputus itu tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan berat dan ringan kerana air sedalam 0.8 meter.

"Dua kejadian tanah runtuh pula berlaku di jalan masuk ke stesen VHF Bukit Bakar dan FT 008 jalan Kota Bharu–Gua Musang berdekatan dengan Dataran Bukit Belah.

"JKR meletakkan papan tanda amaran dan penghadang di kawasan terbabit supaya pengguna berhati-hati serta mematuhi peraturan ditetapkan supaya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini," katanya hari ini.

Nik Soh berkata, pengguna boleh menggunakan laluan alternatif dan melayari laman web https://bencana.jkr.gov.my/ untuk mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai situasi semasa, seperti jalan tutup dan tanah runtuh yang berlaku di kawasan terbabit. - BERNAMA

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search