OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Takungan air pecah: Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh bantu penduduk

Takungan air pecah: Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh bantu penduduk

KUALA LUMPUR - Pasukan sukarelawan daripada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh telah digerakkan bagi menghulurkan bantuan kepada penduduk di Taman Seri Alam, Saujana Utama yang terkesan akibat banjir kilat, susulan insiden benteng takungan air pecah petang semalam.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan berkata, berdasarkan maklumat, lebih 50 rumah terjejas akibat insiden itu, dan beliau telah mengarahkan pasukan sukarelawan itu untuk turun padang meninjau situasi terkini dan membantu penduduk yang memerlukan bantuan segera.

 

"Pasukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh akan sentiasa berusaha memastikan kebajikan penduduk terjaga dan langkah susulan diambil bagi mengelakkan kejadian sebegini berulang selepas perbincangan dengan pemimpin komuniti dan agensi berkaitan.

"Semoga segala urusan dipermudahkan,” katanya dalam hantaran di Facebook. 

Menerusi hantaran itu, Ramanan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi kerajaan yang berkaitan atas tindakan pantas mereka dalam menghulurkan bantuan bagi meringankan beban penduduk terjejas.

Semalam Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 5.15 petang.

Benteng berkenaan pecah menyebabkan air melimpah ke seluruh taman perumahan itu namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. - Bernama

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search