Pelajar madrasah berlindung di dewan makan ketika banjir
- Admin UKK
- Berita
Kuala Berang: Hujan berterusan sejak kelmarin mengakibatkan banjir sedalam 1.5 hingga dua meter (m) di perkarangan Madrasah Addinniah Azzakiah (MAA) Kampung Lubuk Periuk, dekat sini.
Pengasasnya, Zaki Masur, 48, berkata, air mula memenuhi perkarangan madrasah itu kira-kira 10 pagi, sebelum semua pelajar melakukan persiapan untuk berpindah.
Zaki berkata, berikutan kejadian itu, 50 pelajar berusia antara 13 hingga 70 tahun dipindahkan ke sebuah bangunan tinggi di madrasah berkenaan.
Menurutnya, hujan lebat sejak kelmarin mengakibatkan berlakunya limpahan air Sungai Peneh, yang hampir memasuki 50 pondok dihuni pelajar dan tenaga pengajar madrasah.
"Alhamdulillah, semua pelajar akan diarahkan berpindah sekiranya berlaku banjir dan mereka ditempatkan di tingkat atas bangunan dewan makan.
"Apabila mereka berlindung di dewan makan, ia memudahkan pihak pengurusan untuk menyediakan hidangan kepada semua pelajar kerana kesemua peralatan dan bahan memasak sudah tersedia," katanya.
Menurutnya, sejak lima tahun kebelakangan ini, banjir semakin kerap berikutan Sungai Peneh yang terletak hanya dua m daripada madrasah, semakin cetek.
Katanya, berikutan sering dilanda banjir, pihaknya sentiasa membuat persiapan awal bagi menghadapi bencana itu terutamanya dalam aspek keselamatan pelajar.
Tambahnya, langkah berpindah awal sekiranya banjir akan menjimatkan masa serta tenaga berbanding berpindah selepas paras air meningkat tinggi.
"Apabila berlaku banjir, biasanya kayu-kayu yang digunakan untuk pembinaan pondok-pondok tambahan akan hanyut dan itu yang menjadi sedikit kerugian buat kami.
"Bagaimanapun, bukan semua yang dihanyutkan air kerana sebahagian kayu sudah dialihkan ke tempat yang lebih tinggi dan selamat bagi mengelak kerugian yang lebih besar," katanya.