Penduduk panik siren amaran banjir tidak berbunyi
- Admin UKK
- Berita
Penduduk Kampung Limau Kasturi di sini meminta pihak berkaitan segera mengatasi masalah siren amaran banjir yang gagal berfungsi ketika banjir melanda minggu lalu.
Penduduk mendakwa terdapat dua sistem siren amaran banjir di kawasan itu yang berlaku kerosakan dan perlu diselenggara pihak berwajib.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Limau Kasturi, Aluwi Muda berkata, dalam kejadian banjir pada minggu lalu penduduk kelam-kabut apabila siren tidak berbunyi ketika air berada di paras berjaga-jaga.
Katanya, siren amaran banjir hanya berbunyi apabila air sudah sampai pada paras bahaya dan mula melimpahi jambatan serta rumah penduduk.
“Dua siren itu diletakkan di bawah jambatan Sungai Galas dan di Kampung Dalam Lot. Namun, kedua-dua siren itu hanya berbunyi ketika air sungai berada di paras amaran atau bahaya.
“Saya harap pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) dapat menyelenggara siren itu bagi memudahkan penduduk membuat persiapan untuk berpindah sekiranya Kampung Limau Kasturi dilanda banjir gelombang ketiga,” katanya ketika ditemui di Kampung Limau Kasturi di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Mazita Mamat, 46, berkata, penduduk berharap pihak berkuasa dapat membuat pemeriksaan dan penyelenggaraan secara berkala bagi memastikan siren amaran awal banjir berfungsi dengan baik ketika musim tengkujuh. Katanya, walaupun
Siren amaran banjir hanya berbunyi apabila air sudah sampai pada paras bahaya sudah dapat menjangkakan berlakunya banjir kerana hujan berterusan, tetapi siren amaran awal itu penting sebagai amaran awal kepada penduduk terutama pada waktu malam.
“Sepanjang musim tengkujuh ini, penduduk sudah berdepan dua kali gelombang banjir dan kami harap ia dapat diselenggara sebelum berlaku banjir gelombang ketiga,” katanya.
Terdahulu media melaporkan banjir gelombang kedua menyaksikan hampir 3,000 penduduk yang membabitkan beberapa kampung di sekitar Kampung Limau Kasturi terputus hubungan apabila jambatan yang menjadi laluan utama untuk keluar di perkampungan terbabit ditenggelami air Sungai Kerak.
Penduduk mendakwa air mula melimpahi jambatan Sungai Kerak dalam tempoh tiga jam turut menenggelamkan rumah penduduk yang terletak berhampiran sungai terbabit.