Dalamkan kolam tadahan langkah kurangkan banjir
- Admin UKK
- Berita
SEREMBAN: Tindakan mendalamkan empat buah kolam tadahan di Bandar Hamilton dan Taman Desa Jasmin di Nilai dilihat sebagai kaedah jangka masa pendek yang dapat mengurangkan risiko banjir yang berlaku di Pekan Nilai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J. Arul Kumar menjelaskan, semasa hujan lebat air dari kawasan Bandar Hamilton Nilai menjadi salah satu punca menyebabkan berlakunya banjir tersebut.
Jelas beliau, air yang keluar dari tiga kolam tadahan di Bandar Hamilton akan terus masuk ke kawasan Pekan Nilai melalui Sungai Batang Labu, Sungai Momor dan Sungai Batang Nilai.
Tambahnya, manakala kolam tadahan di Taman Desa Jasmin pula mengeluarkan air yang akan terus ke Pekan Nilai melalui Sungai Sekah.
“Pembangunan pesat yang berlaku di sekeliling kawasan Pekan Nilai iaitu Bandar Baru Nilai dan Bandar Hamilton menyebabkan kawasan yang paling rendah iaitu Pekan Nilai selalu dtenggelami banjir.
“Apabila air semua dikeluarkan dan kolam itu didalamkan lagi, semasa hujan air dapat bertakung dengan kuantiti yang lebih banyak dan air hujan tidak akan terus turun ke Pekan Nilai dan risiko banjir dapat dikurangkan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas kejadian banjir kilat yang berlaku di Pekan Nilai di sini pada 8 Disember lalu susulan hujan lebat berterusan selama dua jam yang menyebabkan lebih kurang 50 rumah dan kedai di kawasan itu dinaiki air.
Arul Kumar menambah, untuk tindakan jangka masa pendek, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Seremban telah meminta pemaju Bandar Hamilton untuk mendalamkan lagi kolam tadahan tersebut dan air dikeluarkan semasa bukan hujan. – UTUSAN