Tambahan kerja 3 jam, pengagihan bantuan banjir tumpuan Dewan Rakyat hari ini
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Pertambahan tiga jam waktu kerja penjawat awam, mekanisme pengagihan bantuan banjir, pertukaran kakitangan awam serta kejadian berulang pembuangan sisa toksik kimia di sungai-sungai Pasir Gudang antara tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam bin Mohd Isa meminta Perdana Menteri menyatakan kewajaran pertambahan jumlah jam bekerja bagi penjawat awam yang tidak berpejabat kepada 45 jam seminggu berbanding 42 jam seminggu bermula 1 Disember lalu.
Mohd Isam turut menanyakan mengenai sejauh manakah langkah itu dipersetujui oleh kakitangan awam terbabit ketika Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri Bagi Jawab Lisan.
Dalam sesi sama, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menjelaskan mekanisme pengagihan bantuan yang dirancang kementerian untuk memastikan petani yang terjejas akibat banjir baru-baru ini benar-benar mendapat bantuan tanpa penangguhan.
Beliau turut menanyakan bagaimana kerajaan menangani isu kemungkinan ketirisan atau ketidakadilan dalam proses pemberian bantuan.
Selain itu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan meminta Perdana Menteri menyatakan bentuk reformasi perkhidmatan awam yang akan dilaksanakan melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan faktor menyebabkan berlakunya pertukaran besar-besaran dan dalam tempoh agak kerap dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan yang membabitkan penurunan pangkat yang boleh dianggap ‘constructive dismissal’ di beberapa kementerian dan kerajaan negeri baru-baru ini.