Jambatan tenggelam, hampir 3,000 penduduk terputus hubungan
- Admin UKK
- Berita
Gua Musang: Banjir gelombang kedua menyaksikan hampir 3,000 penduduk Kampung Limau Kasturi dan kampung sekitarnya, terputus hubungan hari ini, apabila jambatan yang menjadi laluan keluar masuk utama ditenggelami air Sungai Kerak.
Difahamkan limpahan sungai itu berlaku dalam tempoh tiga jam dan turut menenggelamkan rumah penduduk yang terletak berhampiran sungai terbabit.
Selain Kampung Limau Kasturi antara kampung lain yang terlibat adalah Kampung Batu 14 dan Kampung Serian.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Limau Kasturi, Aluwi Muda berkata, keadaan itu berlaku susulan hujan berterusan sejak petang semalam dan lebat pada sebelah malam, yang menyebabkan air sungai melimpah.
Katanya, penduduk yang tinggal di kawasan rendah yang berhadapan situasi itu setiap tahun, terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) buat kali kedua selepas gelombang pertama, dua minggu lalu.
"Saya anggarkan sudah ada enam keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1. Air Sungai Kerak menunjukkan trend meningkat dan pada 5 petang tadi, siren amaran bahaya sudah berbunyi.
"Jadi saya nasihatkan kepada penduduk untuk sentiasa mengikut arahan pihak berwajib demi keselamatan mereka dan keluarga. Kita takut berlaku situasi luar jangka serta mereka tidak sempat berpindah," katanya ketika ditemui.
Menurutnya, mereka yang terputus hubungan terpaksa menggunakan perahu untuk keluar jika keadaan mendesak.
Penduduk, Ahmad Ab Rahman, 46, berkata, siren amaran banjir yang berbunyi menandakan paras sungai dalam bahaya, sekali gus peringatan akhir untuk penduduk bersiap sedia atas sebarang kemungkinan.
Dia juga menasihati penduduk kampung untuk berpindah lebih awal dan mengelak pindah pada waktu malam memandangkan ia boleh merisikokan diri dan keluarga serta anggota penyelamat.