Banjir beri impak kepada bekalan beras tempatan
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengakui banjir yang melanda beberapa negeri mengakibatkan negara berdepan kesan besar terutama dengan kehilangan potensi hasil membabitkan penghasilan beras.
Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata berdasarkan statistik kementerian, negara direkodkan kehilangan potensi hasil 5.3 juta pek beras 10 kilogram (kg), setakat ini.
Beliau berkata, keadaan itu sekali gus memberi impak kepada bekalan beras putih tempatan.
“Perlu diambil maklum, tahun ini bencana sangat luar biasa dan ia memang ada membawa kesan kepada bekalan beras putih tempatan dalam negara kita.
“Setakat ini, kita kehilangan 5.3 juta pek 10kg kampit beras dalam pasaran... lenyap begitu sahaja akibat banjir yang melanda negara kita,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat semalam.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Pn-besut) mengenai keberkesanan inisiatif dilaksanakan KPKM bagi menangani isu kekurangan bekalan BPT.
Sementara itu, Arthur berkata, KPKM menyediakan Tabung Bencana Tanaman Padi untuk memberikan bantuan kepada pesawah bagi mengurangkan kerugian dialami mereka susulan kejadian banjir.
Katanya, peruntukan RM30 juta disediakan KPKM bagi tujuan bantuan pembaikan infrastruktur musnah akibat banjir, tahun ini.
“Pesawah layak menerima bantuan RM1,800 per hektar untuk maksimum tiga hektar, bergantung keluasan yang musnah.
“Selain itu, kaedah baharu iaitu Agrobank Skim Takaful Tanaman Padi dengan pesawah boleh mohon bantuan sehingga RM3,000 per musim, juga sudah dilancarkan Oktober lalu,” katanya.
Mengenai usaha menangani isu kekurangan bekalan BPT, Arthur berkata kementerian sudah menambah empat langkah reformasi institusi dan industri padi beras sebagai fokus utama, sekali gus melipatgandakan program
Gelombang Padi, berkuat kuasa 1 Januari depan.
Ia membabitkan pemisahan kuasa dan fungsi institusi pengurusan industri padi beras serta pengenalan peraturan larangan percampuran BPT dan beras putih import, selain memperkukuh kawal selia penguatkuasaan serta memantapkan tadbir urus Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kementerian mengesan enam jenis penyakit bawaan air dihidapi oleh mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) yang aktif, setakat kelmarin di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata seramai 7,853 daripada 34,503 mangsa banjir disahkan menghidap penyakit berkenaan oleh pasukan kesihatan yang ditempatkan di setiap PPS.
Katanya, sebanyak 7,304 mangsa banjir disahkan menghidap jangkitan pernafasan akut, gastroenteritis akut (3,170), radang mata (197), cacar air (20), penyakit tangan, kaki dan mulut (13) dan COVID-19 (dua).
“Bagi pesakit COVID-19, KKM mempunyai garis panduan untuk menanganinya daripada merebak dan kami sudah mengasingkannya,” katanya.
Enam bot tenggelam
Di Jerantut, kejadian kepala air yang membawa arus sangat deras menenggelamkan enam bot milik ahli Persatuan Gabungan Perkhidmatan Bot Taman Negara (PGPBTN) Kuala Tahan, di sini, jam 9 malam kelmarin.
Lima bot bersama dengan enjinnya dan sebuah tanpa enjin itu tenggelam sekelip mata itu adalah bot sering digunakan untuk menjalankan perkhidmatan bot penambang dan nelayan sungai.
Ahli PGPBTN, Ismaiza Zawawi, berkata dia dimaklumkan kejadian itu oleh rakannya memberitahu perahu diguna untuk menangkap ikan sudah tenggelam akibat arus kepala air berikutan kenaikan paras Sungai Tembeling.
“Saya terus bergegas ke sungai untuk melihat tempat perahu yang saya tambat, tetapi mendapati perahu itu tenggelam bersama enjin dan peralatan menangkap ikan,” katanya.
Penduduk Kuala Tahan, Zaimi Hasan berkata, dipercayai kepala air berlaku disebabkan hujan berterusan kira-kira 24 jam di kawasan ulu sungai.
“Pertembungan air sungai Tembeling dan Sungai Sepial menyebabkan paras air Sungai Tembeling yang melalui Kuala Tahan turut meningkat dan membawa arus deras,” katanya.
Di Pasir Mas, lebih 50 penduduk membabitkan tiga kampung di Mukim Teresek, di sini berputih mata dan mengalami kerugian hampir RM100,000 selepas lebih 700 ekor binatang ternakan terutama lembu dan kambing mereka mati ketika gelombang banjir pertama, baru-baru ini.
Ia membabitkan lebih 300 ekor lembu, 200 ekor kambing dan selebihnya adalah itik.
Penduduk mendakwa, keseluruhan kampung berkenaan ditenggelami air dan tiada tempat selamat menyebabkan binatang ternakan mereka gagal diselamatkan.
Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Mukim Teresek, Norisham Mustafa, berkata banjir baru-baru ini menenggelamkan ketiga-tiga kampung iaitu Kampung Serongga, Kampung Teresek dan Seberang Merbau.
Katanya, paras air mencecah lebih dua meter dan hampir keseluruhan kampung hanya nampak bumbung bagi yang dua tingkat manakala bagi yang setingkat terus tenggelam.
“Disebabkan banjir teruk itu menyebabkan ratusan binatang ternakan tidak dapat diselamatkan dan mati akibat banjir.
“Ratusan lembu, kambing dan itik tidak dapat diletakkan di tempat tinggi memandangkan seluruh kawasan ini tenggelam terus.
“Susulan itu, penduduk berputih mata dan kerugian hampir RM100,000,” katanya ketika ditemui di Kampung Serongga, di sini, semalam.