OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Sultan Pahang titah siap siaga hadapi banjir

Sultan Pahang titah siap siaga hadapi banjir

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya Kerajaan Pahang dan rakyat negeri ini bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, berikutan ramalan hujan berterusan hingga 11 Disember ini.

Baginda bertitah, semua pihak perlu berhati-hati dan cakna dengan persekitaran, khususnya mereka yang tinggal berdekatan sungai dan tali air memandangkan kawasan itu berisiko banjir.

“Saya dimaklumkan, berdasarkan ramalan cuaca, hujan mungkin berterusan minggu ini.

“Justeru, kita perlu sama-sama berdoa cuaca bertambah baik dan musibah banjir tidak berlaku dengan teruk,” titah baginda selepas berangkat ke Majlis Penyerahan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’Rasa) Daerah Temerloh di Kampung Lada, semalam.

Baginda bertitah, selain harta benda, perkara diutamakan ketika bencana adalah keselamatan nyawa.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam mengeluarkan amaran hujan lebat tahap buruk dan waspada di tujuh negeri termasuk di Pantai Timur yang dijangka melanda hingga esok.

MetMalaysia menerusi kenyataan memaklumkan, keadaan cuaca itu dijangka melanda Kuantan, Pekan, Jerantut, Maran dan Rompin selain Kemaman dan Dungun di Terengganu.

Seluruh Kelantan dan Perlis pula diramal mengalami hujan berterusan tahap waspada dalam tempoh masa sama, selain di Hulu Perak, Perak dan Kedah membabitkan Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling.

Turut dijangka mengalami cuaca itu ialah Pahang di Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh dan Bera; Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang) serta Johor (Segamat, Mersing dan Kota Tinggi). - Bernama

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search