Banjir kilat tenggelamkan beberapa kenderaan di Presint 11, Putrajaya
- Admin UKK
- Berita
PUTRAJAYA: Beberapa kenderaan penduduk yang dipakir berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Presint 11, di sini, ditenggelami air akibat banjir kilat petang tadi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4.50 petang, susulan hujan lebat.
Katanya, situasi berada dalam keadaan terkawal dengan air banjir dilaporkan sudah surut sepenuhnya tidak lama selepas itu.
"Setakat ini polis masih belum menerima laporan daripada pemilik kenderaan yang ditenggelami air itu.
"Penduduk dinasihatkan agar memastikan kenderaan diletakkan di kawasan selamat dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Menerusi gambar yang tular di media sosial anggota bomba bersama jentera dan polis turut berada di kawasan banjir kilat itu bagi memantau keadaan selepas banjir surut.