Banjir Kelantan: 4,894 kes penyakit berjangkit dikesan di PPS
- Admin UKK
- Berita
TUMPAT: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan telah mengesan sebanyak 4,894 kes penyakit berjangkit di beberapa pusat pemindahan banjir (PPS) seluruh negeri sepanjang musim tengkujuh ini.
Menurut Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, jumlah tersebut direkodkan sehingga semalam, 2 Disember.
Beliau menyatakan bahawa jangkitan saluran pernafasan mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 2,923 kes, diikuti oleh jangkitan kulit sebanyak 1,367 kes.
Selain itu turut direkodkan ialah Gastroenteritis Akut (keradangan perut dan usus) 116 kes, Konjunktivitis (radang mata) (99 kes) dan Demam Virus (376 kes).
Dr Zaini memaklumkan bahawa kebanyakan kes dilaporkan di pusat pemindahan banjir di Pasir Mas, Machang, dan Tumpat.
Bagaimanapun, tiada penyakit serius dikesan, dan keadaan keseluruhan masih terkawal.
"Semua kes penyakit berjangkit ini telah dirawat oleh pegawai kesihatan yang bertugas di pusat pemindahan banjir," katanya ditemui di pusat pemindahan SK Padang Pohon Tanjung hari ini.
Beliau hadir mengiringi lawatan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid mencemar duli ke PPS itu.
Hadir sama pada majlis itu Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Baginda bertanya khabar 225 mangsa yang berlindung di PPS itu selain menyampaikan sumbangan bakul makanan serta wang tunai.
Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata pasukan kesihatan telah dikerahkan ke pusat pemindahan banjir di seluruh negeri bagi memantau kesihatan mangsa yang dipindahkan.
"Pegawai kesihatan bersedia untuk memeriksa mangsa banjir, terutamanya mereka yang mempunyai gejala, bagi mencegah penularan penyakit kepada individu lain," tambahnya.