Punca banjir besar di Kelantan, Terengganu
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Kadar taburan hujan di Kelantan dan Terengganu dalam tempoh lima hari, dari 26 hingga 30 November lalu adalah jauh daripada jangkaan, melebihi kadar hujan yang lazimnya diterima selama enam bulan, sehingga membawa kepada banjir besar di negeri itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata di Kelantan, dalam tempoh berkenaan, bacaan di stesen hujan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mencecah lebih 1,167 milimeter (mm), manakala berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), bacaan adalah pada kadar 1,442 mm.
"Itu adalah rekod hujan yang terlalu tinggi. Di Terengganu umpamanya, METMalaysia rekod di Besut, mencatatkan jumlah hujan sebanyak 1,761 mm, itu dalam tempoh lima hari dan secara umumnya mencatatkan 1,439 mm.
"Jadi memang jauh luar daripada jangkaan. Maknanya lima hari kadar hujannya itu lebih daripada enam bulan biasa," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai sama ada Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (DRR) akan dipercepat bagi membolehkan semua fasiliti besar mitigasi banjir disegerakan, termasuk Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) ke Pantai Timur, susulan banjir dalam skala luar biasa kini yang melanda seluruh negara, yang akan menempuh beberapa gelombang.
Perdana Menteri berkata, DRR diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan gerak kerja pada kali ini disifatkan beliau sangat memuaskan.
"Saya juga menghargai kerana persiapannya berbulan-bulan sebelum itu. Mesyuarat di Persekutuan, kerajaan negeri dan wakil daerah, dan ini menyebabkan langkah diambil seperti yang saya saksikan sendiri di Terengganu dan daripada rakan lain saksikan di Kelantan sangat memuaskan," katanya.
Memperincikan kemajuan projek tebatan banjir di Pantai Timur, Perdana Menteri, berkata di Kelantan, Fasa Satu, meliputi jajahan Tumpat dan sebahagian Pasir Mas sudah siap 70 peratus dan dijangka siap pada awal 2026.