'Semua calon SPM terjejas banjir perlu pindah ke asrama' - Fadhlina
- Admin UKK
- Berita
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengeluarkan arahan supaya semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir berpindah ke asrama yang disediakan.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata setakat ini, pihaknya juga sedang berunding dengan ibu bapa supaya membenarkan anak mereka berada di kemudahan asrama disediakan bagi memudahkan mereka sepanjang peperiksaan dijalankan.
"Setakat ini arahan sudah dikeluarkan supaya pelajar ini dipindahkan ke asrama, namun ada ibu bapa yang berhasrat menghantar anak mereka sendiri ke sekolah.
"Bagaimanapun, kita minta mereka (ibu bapa) hantar anak ke asrama kerana kita tak nak ambil risiko antaranya kemungkinan ada yang tak dapat hadir peperiksaan akibat banjir," katanya pada sidang media khas di KPM hari ini.
Fadhlina berkata, setakat ini proses pemindahan pelajar sedang giat dijalankan di ketiga-tiga negeri paling teruk terjejas banjir iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
"Setakat ini di Kedah dan Terengganu sudah selesai sepenuhnya, hanya tinggal di Kelantan dan kita percaya ia boleh diselesaikan hari ini," katanya.
Fadhlina berkata, KPM dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) turut mengambil langkah siap siaga khususnya menyiapkan kemudahan diperlukan di asrama yang menempatkan calon SPM terbabit, termasuk menyediakan buku teks, akses makmal komputer dan menggunakan pelantar DELIMa.
Selain itu, beliau berkata, bagi pelajar terjejas juga dibenarkan mengenakan pakaian bersesuaian dengan kelengkapan bagi menghadapi peperiksaan itu turut disediakan.
"Ada kelonggaran dari segi pemakaian (diberikan) untuk pelajar ini. Kita pastikan mereka dapat hadir sepenuhnya.
"Begitu juga persiapan lain, kita juga melengkapkan asrama di mana mereka akan ditempatkan, antaranya menyediakan alat tulis, pakaian dan aspek lain bagi membolehkan mereka dapat belajar atau mengulang kaji secara kondusif di asrama," katanya.
Sementara itu, Fadhlina berkata, calon SPM yang terjejas banjir juga akan digerakkan ke pusat alternatif bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan dengan selesa mengikut jadual ditetapkan.
"Bagi calon persendirian, mereka boleh menghubungi JPN untuk memastikan tiada yang tercicir atau boleh hadir ke pusat alternatif.
"Begitu juga untuk pentaksir atau petugas yang terjejas, mereka akan digantikan dengan petugas baharu. Jadi tak timbul soal mereka tak dapat hadir ke tempat bertugas kerana kita terus laksanakan penggantian dengan petugas dan pentaksir baharu," katanya.
Untuk rekod, seramai 402,956 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2024.
Dalam satu kenyataan, KPM berkata, Ujian Bertutur Bahasa Melayu akan bermula pada 2, 3, 4 dan 5 Disember, manakala Ujian Amali Sains pula bermula dari 9,10 dan 12 Disember ini, diikuti Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 16,17,18, dan 19 Disember; Ujian Mendengar Bahasa Melayu (31 Disember) dan Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (31 Disember).
Mulai 2 Januari hingga 6 Februari tahun depan, akan berlangsungnya peperiksaan bertulis.