OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Pakistan zahir hasrat hantar sumbangan banjir kepada Malaysia- Anwar

Pakistan zahir hasrat hantar sumbangan banjir kepada Malaysia- Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif berhasrat menghantar sumbangan bagi meringankan beban rakyat Malaysia yang terkesan akibat banjir sebagai tanda solidariti dan kebersamaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu dizahirkan rakan sejawatnya menerusi perbualan telefon mereka petang tadi dan Shehbaz turut menyatakan simpati kepada Malaysia susulan musibah itu.

“PM Shehbaz mendoakan perlindungan dan kesejahteraan kepada lebih 140,000 rakyat Malaysia di beberapa negeri yang terkesan dengan bencana banjir.

“Saya nyatakan penghargaan tertinggi atas sifat murah hati PM Shehbaz dan mengalu-alukan sumbangan itu bagi menghargai persahabatan erat Malaysia-Pakistan,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.

Anwar turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan Pakistan itu, turut menjemput Shehbaz berkunjung ke Malaysia pada awal tahun depan.

Menerusi hantaran itu, Anwar juga berkata, keutamaan dan perhatian sepenuhnya kini tertumpu kepada kebajikan serta keselamatan mangsa banjir.

“Semoga Allah mengangkat musibah ini sesegera mungkin,” katanya.

Keadaan banjir di sembilan negeri terus memburuk hari ini dan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara ialah seramai 142,684 orang setakat petang tadi.

Bencana itu turut mengorbankan empat nyawa setakat ini.

Selain Kelantan yang paling teruk terkesan akibat bencana itu, banjir turut melanda Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Perlis, Johor, Melaka, Perak dan Selangor. — BERNAMA.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search