OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Air pasang besar diramal berlaku lagi di Kuala Terengganu, Kemaman malam ini

Air pasang besar diramal berlaku lagi di Kuala Terengganu, Kemaman malam ini

KUALA TERENGGANU: Penduduk yang tinggal di 43 kampung berhampiran 11 muara di negeri ini tidak terjejas walaupun terbabit dengan kejadian air pasang besar, malam tadi.

Berdasarkan stesen cerapan Kuala Terengganu, air pasang besar berlaku selama satu jam bermula 8 malam tadi dengan ketinggian ombak 2.50 meter (m), manakala ombak dengan ketinggian 3.20m berlaku di daerah Kemaman selama satu jam bermula 9 malam.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Osman Abdullah, berkata tiada laporan banjir pantai dan perpindahan penduduk dilaporkan.

Berdasarkan laporan Pusat Hidrografi Nasional Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), air laut pasang besar dijangka turut berlaku malam ini. Stesen cerapan Kuala Terengganu turut meramalkan fenomena sama malam ini membabitkan ketinggian ombak 2.50m bermula 8 malam hingga 9 malam.

"Berdasarkan stesen cerapan Kemaman pula, fenomena air pasang besar diramal turut berlaku selama satu jam bermula 9 malam ini dengan ketinggian 3.20m," katanya.

Osman berkata, banjir pantai boleh berlaku jika hujan berterusan serentak dengan air pasang tinggi serta trend air menaik.

"Penduduk berhampiran muara sungai berisiko menjadi mangsa banjir jika pertembungan air berlaku. Ketika air pasang besar semalam, tiada kampung di muara sungai ditenggelami air berikutan tiada hujan, manakala air dari hulu belum mengalir ke laut," katanya.

Tinjauan bersama pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri diketuai Penguasa Kanan Yusmaredza Mirza Mohd Ali di Kampung Losong Feri, di sini malam tadi, mendapati air hanya naik setinggi kira-kira 0.3 meter.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search