Mangsa banjir di 9 negeri lepasi 90,000
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di 35 daerah di sembilan negeri kini melepasi 90,264 orang membabitkan 27,799 keluarga, setakat jam 6 petang ini.
Kesemua mangsa banjir itu kini ditempatkan di 570 pusat pemindahan sementara (PPS).
Menerusi maklumat portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daripada jumlah keseluruhan itu, lebih separuh mangsa dicatatkan di Kelantan dengan 67,628 orang daripada 21,094 keluarga yang ditempatkan di 251 PPS di 10 daerah.
Di Terengganu, bilangan mangsa banjir juga meningkat kepada 16,968 daripada 4,961 keluarga di 239 PPS di lapan daerah manakala di Kedah 2,932 mangsa daripada 992 keluarga di 42 PPS di lima daerah,
Jumlah mangsa di Negeri Sembilan juga menunjukkan peningkatan kepada 1,891 mangsa daripada 518 keluarga di dua daerah dan ditempatkan di 20 PPS, sementara di Perlis pula, jumlah mangsa kekal kepada 425 orang daripada 125 keluarga dari tiga daerah berlindung di empat PPS.
Mangsa banjir di Selangor juga kekal kepada 312 orang daripada 77 keluarga dan setakat ini dua PPS sudah dibuka manakala di Melaka jumlah mangsa meningkat kepada 95 orang daripada 25 keluarga berlindung di lima PPS di tiga daerah.
Jumlah mangsa di Perak turut berkurangan kepada 20 orang berbanding 48 mangsa sebelum ini. Malah, hanya satu PPS yang masih beroperasi di daerah Kerian.
Sementara di Johor, terdapat enam PPS dibuka sebagai langkah berjaga-jaga.
Bagi pecahan kategori mangsa di semua negeri terjejas banjir itu, ia membabitkan lelaki dewasa seramai 29,484 orang, perempuan dewasa (31,296), kanak-kanak lelaki (13,809) dan kanak-kanak perempuan (13,119).
Mangsa turut babitkan bayi lelaki seramai 1,347 orang serta bayi perempuan 1,209 orang.