Banjir makin buruk, mangsa hampir 75,000 orang di 7 negeri
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Jumlah penduduk terjejas akibat banjir yang melanda tujuh negeri membabitkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Perlis, Perak dan Selangor terus meningkat kepada 74,173 mangsa daripada 22,966 keluarga setakat jam 7.30 pagi ini.
Berdasarkan maklumat portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 501 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara.
Kelantan masih merekodkan angka mangsa banjir tertinggi dengan 59,232 orang yang membabitkan 18,471 keluarga yang ditempatkan di 221 PPS di 10 daerah negeri berkenaan.
Di Terengganu, seramai 11,870 mangsa banjir (3,461 keluarga) sedang berlindung di 235 PPS yang beroperasi di lapan daerah, manakala di Kedah, 31 PPS dibuka di lima daerah yang menempatkan 2,237 mangsa banjir (778 keluarga).
Di Negeri Sembilan pula, enam PPS sedang beroperasi yang menempatkan 274 mangsa (96 keluarga) di dua daerah manakala di Perlis 332 mangsa banjir daripada 99 keluarga di empat PPS di tiga daerah.
Di Selangor, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 159 orang membabitkan 39 keluarga manakala di Perak membabitkan dua daerah dengan 69 keluarga daripada 22 keluarga.
Daripada jumlah keseluruhan mangsa banjir, seramai 24,285 (32.74 peratus) adalah lelaki dewasa; 25,915 (34.94 peratus) perempuan dewasa; 11,187 (15.08 peratus) kanak-kanak lelaki; 10,729 (14.46 peratus) kanak-kanak perempuan; 1,098 (1.48 peratus) bayi lelaki; dan 960 (1.3 peratus) bayi perempuan.
Daripada jumlah keseluruhan itu, 2,638 mangsa (3.56 peratus) lelaki warga emas; 3,078 (4.15 peratus) wanita warga emas; 1,288 (1.74 peratus) orang kurang upaya (OKU) lelaki; dan 960 (1.30 peratus) OKU perempuan.