OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Lebih 20,000 berpindah ke PPS

Lebih 20,000 berpindah ke PPS

Kuala Lumpur: Banjir di Kelantan dan Terengganu semakin buruk dengan lebih 20,000 penduduk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam tadi.

Mangsa banjir di Kelantan bertambah dengan mendadak kepada 17,927 sehingga 6.45 petang, berbanding 9,868 orang pada 3 petang. Sembilan daerah terjejas dan PPS dibuka di Pasir Mas, Kuala Krai, Jeli, Machang, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kota Bharu, Bachok dan Tumpat.

Di Terengganu, seramai 2,339 individu berpindah ke PPS di enam daerah terjejas sehingga 6 petang semalam. Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, daerah Besut paling ramai terjejas dengan 1,102 mangsa di 20 PPS.

11 sungai di paras amaran 

Laman web Infobanjir memaklumkan 11 sungai di negeri ini berada pada amaran bahaya iaitu di Sungai Besut di Jambatan Keruak, dengan bacaan 37.16 meter berbanding 35 meter.

Sungai Besut di Kampung La, bacaan 23.93 meter berbanding 21.8 meter, manakala Sungai Berang di Kampung Menerong, Hulu Terengganu, mencatat bacaan 24.53 meter berbanding 24.5 meter.

Banjir di Rantau Panjang, Kelantan mengakibatkan perniagaan ditutup selepas semua jalan masuk ke pekan itu dinaiki air 0.4 hingga 0.8 meter tengah hari semalam.

Tinjauan di tiga pintu penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia mendapati hanya pintu satu boleh dilalui kenderaan berat, manakala pintu dua di Kampung Parit Air serta pintu tiga di Kampung Kubang Rambutan ditutup.

Peniaga, Amran Abdullah, 45, berkata beliau membuka kedai pakaian jam 10 pagi, namun pada tengah hari, beberapa jalan mula dinaiki air.

“Ramai rakan peniaga yang membuka kedai separuh hari saja dan mengambil keputusan mengemas barang kerana bimbang paras naik dan memasuki dalam premis ini,” katanya.

Banjir di Kota Bharu menyebabkan Loji Rawatan Air Teluk Mesira, Bachok terpaksa dihenti tugas yang menjejaskan 1,300 akaun pengguna semalam.

Jabatan Korporat Air Kelantan Sdn Bhd memaklumkan, kawasan terbabit ialah Teluk Mesira, Taman SPP, Kampung Jembal, Tok Jawa, Budi, Pintu Gerbang, Wakaf Zin, Desa Kerian, Dusun Durian, Chicha Menyabung dan Kampung Gajah Mati.

Di Kuala Krai, lebih 2,000 penduduk daripada lima kampung terkepung selepas jambatan dan laluan utama untuk keluar ditenggelami air susulan hujan lebat sejak Isnin lalu.

Lima kampung berkenaan ialah Kampung Mia, Kampung Ulu Manah, Kampung Tanjung Kala, Sungai Tasan dan Ladang Kuala Pertang.

Penghulu Mukim Kuala Pertang, Mat Ropi Abdullah, 49, berkata antara jambatan yang ditenggelami air ialah Jambatan Kuala Pertang, Jambatan Sungai Tasan, Jambatan Kampung Mia dan jalan masuk ke Kampung Ulu Manah.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search