13 bukit lokasi pindah kecemasan
- Admin UKK
- Berita
Sebanyak 13 bukit dikenali pasti sebagai lokasi perpindahan kecemasan penduduk, sekiranya banjir besar berlaku yang menyebabkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tenggelam.
Ketua Jajahan Gua Musang yang juga Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Nik Raisnan Daud berkata, inisiatif itu mengambil iktibar daripada bah besar berlaku pada 2014 yang menyebabkan penduduk terpaksa menyelamatkan diri di atas bukit dan ada antaranya terputus bekalan makanan.
“Antara lokasi yang dikenal pasti di Kampung Batu Papan, Lebir, Kampung Limau Kasturi dan Aring. Ketika kejadian banjir besar yang berlaku 10 tahun lalu di luar jangka dan kita tidak ada persiapan awal.
“Jadi di lokasi yang sudah dikenali pasti ini, pihak kami menyediakan pelbagai kelengkapan untuk kegunaan mangsa banjir termasuk makanan, peralatan memasak, lampu suluh, tali dan khemah,” katanya semalam.
Nik Raisnan berkata, lokasi semua bukit itu akan dihebahkan ketika solat Jumaat dengan bantuan penggawa dan penghulu apabila tiba masanya.
Dalam masa sama katanya, beliau meminta semua masjid dan surau mengadakan solat hajat mendoakan tidak berlaku musibah besar pada Monsun Timur Laut ini.
“Kesiapsiagaan kita bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka banjir basar sudah bermula awal dan pada bulan lalu kami menganjurkan program simulasi banjir yang membabitkan
semua agensi keselamatan.
“Selain terdapat lima bot daripada pelbagai agensi, terdapat juga 25 bot persendirian sudah didaftarkan sebagai persediaan banjir di daerah ini,” katanya meminta semua penduduk terutama di kawasan rendah supaya berwaspada dan peka.