3 sekawan cemas terperangkap dalam banjir
- Admin UKK
- Berita
Tiga sekawan berdepan detik cemas apabila lori yang mereka naiki terperangkap dalam banjir menyebabkan mereka terpaksa diselamatkan pasukan bomba, dalam kejadian di Pengkalan Telok, dekat Rumah Pam Kampung Jejawi, dekat sini.
Rosmaini Ahmad, 43; Mohd Badawi Ramli, 41, dan Lim Chee Wei, 28, berjaya diselamatkan pasukan Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, jam 8.30 malam kelmarin, iaitu selepas kira-kira tiga jam terperangkap dalam banjir.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika mereka dalam perjalanan dari Alor Setar, Kedah untuk melakukan pendawaian kilang padi di Kampung Tasek Berangan, dekat sini.
Rosmaini berkata, mereka menggunakan aplikasi navigasi untuk ke kilang itu dan tidak menyangka terperangkap dalam banjir.
“Sebenarnya, ini adalah kali kedua kami ke kilang berkenaan tetapi sebelum ini aplikasi ini menunjukkan jalan lain untuk sampai destinasi terbabit.
“Memandangkan kurang arif jalan di sini, kami menggunakan aplikasi itu sekali lagi, namun tidak menyangka ia menunjukkan jalan yang dinaiki air.
“Kami melalui jalan berkenaan sekitar jam 5.30 petang dengan meredah air sejauh 500 meter. Kami sangkakan paras air tidak begitu tinggi, namun terkejut apabila tiba-tiba lori sudah tidak boleh bergerak kerana paras banjir semakin tinggi.
“Dalam saat getir itu, saya menelefon talian kecemasan 999 sebelum mereka menghubungkan saya dengan pihak bomba serta polis yang kemudian datang memberi bantuan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Rosmaini berkata, mereka terpaksa meninggalkan lori yang dipenuhi peralatan kerja di situ kerana kawasan berkenaan sudah terkepung dengan banjir dan buat masa ini berlindung di kilang padi sementara menunggu air surut.
Selain itu seorang pengusaha timun terpaksa meredah air separas 0.2 sehingga 0.4 meter (m) untuk memetik hasil tanaman selepas kebunnya dilanda banjir
akibat hujan lebat di Kampung Lati, di sini.
Mohd Faris Afifi Azman, 32, berkata kebunnya seluas 0.1 hektar itu berada di kawasan agak rendah menyebabkan air bertakung dan mengambil masa agak lama untuk surut sepenuhnya.
Katanya, susulan cuaca sukar dijangka, kali ini dia terpaksa berhadapan dengan proses memetik timun ketika musim tengkujuh, sekali gus memberi kesan kepada jumlah hasil serta kualiti tanamannya.
“Saya sudah mengusahakan tanaman timun selama tiga tahun dan pernah melalui pengalaman mengutip hasil pada musim tengkujuh. Saya ingatkan sempat nak kutip hasil sebelum banjir, rupanya jangkaan saya meleset.
“Bagaimanapun saya masih boleh mendapatkan hampir 300 kilogram (kg) timun setiap hari untuk dihantar kepada pemborong di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu,” katanya ketika ditemui di kebun miliknya di Kampung Lati, di sini semalam.
Projek masih berjalan
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani
Husin, berkata Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1 yang dijadualkan siap pada Ogos lalu masih berjalan dengan peratus kemajuan 70 peratus.
Beliau berkata, susulan pertambahan lot terbabit dengan pengambilan balik tanah dan kesan perubahan jajaran jalan Keselamatan dan Pembangunan (KESBAN) menyebabkan kontraktor memohon lanjutan masa.
Katanya, kontraktor membuat permohonan lanjutan masa pada November 2023 dan diluluskan pada 30 Januari lalu dengan jumlah lanjutan masa selama 707 hari.
“Bagi projek PLSB Sungai Golok 3, ia dimulakan pada April lalu membabitkan proses reka
bentuk dan kerja fizikal dijangka bermula Januari tahun depan.
“Sementara projek PLSB Fasa 2 pula berada di peringkat Lembaga Perolehan bagi Pra-kelayakan Tender di bawah Kementerian,” katanya ketika ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Kompleks Kota Darulnaim, di sini semalam.
Mengenai pelan mitigasi banjir, Dr Izani berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah menyediakan Pelan Induk Sistem Saliran Mesra (PISMA) bagi jajahan Kota Bharu, Tanah Merah dan Pasir Mas dan akan diteruskan bagi tahun hadapan membabitkan jajahan Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Pasir Puteh, Bachok, Jeli serta Tumpat.