Dua faktor pengaruhi cuaca panas, kering
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Cuaca panas dan kering dialami negara sejak dua minggu lalu, dipercayai dipengaruhi dua faktor, iaitu fenomena iklim semula jadi dan kemungkinan kesan taufan Gaemi yang melanda Filipina dan Taiwan.
Felo Akademi Sains Malaysia, Dr Fredolin Tajudin Tangang, merujuk fenomena iklim semula jadi itu sebagai Boreal summer intraseasonal oscillation (BSISO) yang menyebabkan peningkatan suhu dan keadaan kering.
BSISO atau ayunan dalam panas Hemisfera Utara menyebabkan gangguan dalam sistem atmosfera yang bergerak dari Lautan Hindi ke Malaysia dan Sumatera, kemudian ke utara dan mempengaruhi kawasan Laut China Selatan.
Fredolin menjelaskan, pergerakan BSISO boleh dihuraikan dalam urutan fasa satu hingga tujuh dan apabila berada pada fasa lima serta enam, biasanya pengukuhan tekanan tinggi berlaku di kawasan Malaysia dan Sumatera.
“Pengukuhan tekanan tinggi menyebabkan pencapahan kelembapan, menghalang perolakan tempatan, mengurangkan litupan awan dan hujan serta meningkatkan keamatan pancaran matahari ke permukaan bumi dan peningkatan suhu.
“Menurut Pusat Ramalan Iklim APEC di Busan, Korea pada
24 Julai lalu, BSISO menyebabkan keadaan perolakan terhalang di Malaysia dan kawasan tengah Sumatera dan ia diramal berlarutan sepanjang
Ogos nanti,” katanya kepada BH.
Katanya, keadaan cuaca panas dan kering juga mungkin kerana Gaemi, taufan kuat yang menyebabkan kelembapan terangkut ke kawasan yang dilanda bencana itu dan menyebabkan Malaysia kurang kelembapan.
“Ini juga menyebabkan atmosfera menjadi lebih stabil, menghalang proses perolakan, mengurangkan litupan awan dan curahan hujan dan seterusnya meningkatkan suhu,” katanya.
Ditanya sama ada cuaca panas boleh berterusan bagi jangka panjang, termasuk sehingga bertahun mendatang, beliau berkata, kebanyakan pusat ramalan cuaca hanya mengeluarkan ramalan untuk tempoh beberapa bulan ke hadapan.
“Bagi Malaysia, untuk beberapa bulan akan datang, kita akan beralih ke musim perantaraan monsun pada September dan Oktober serta musim Monsun Timur Laut pada Disember hingga Februari depan.
“Pusat Ramalan Iklim ramal pada separuh kedua tahun ini akan berlaku La Nina dengan kebarangkalian melebihi 70 peratus pada September nanti. Ia akan jadikan Malaysia dan Asia Tenggara kawasan penumpuan kelembapan dan ini akan meningkatkan curahan hujan, termasuk hujan ekstrem,” katanya.
Dijangka hingga September
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia), Muhammad Helmi Abdullah, dalam satu kenyataan memaklumkan cuaca panas ketika ini yang dipengaruhi musim Monsun Barat Daya, dijangka berterusan sehingga
September depan.
“Bagaimanapun, setakat ini, cuaca di negara ini belum mencapai tahap kemarau. Sepanjang tempoh ini, secara umumnya, kebanyakan kawasan di Malaysia akan alami cuaca kering kerana kurangnya penumpuan udara lembap untuk menghasilkan hujan.
“Monsun Barat Daya lazimnya bawa angin kering dari arah Sumatera dan Kalimantan, mengakibatkan kurang hujan di negara kita. Cuaca akan lebih kering sekiranya berlakunya pembentukan ribut siklon tropika di barat Lautan Pasifik dan Laut China Selatan.
“Bagaimanapun tiada jangkaan pembentukan ribut siklon tropika di Laut China Selatan dan barat Lautan Pasifik dalam masa terdekat,” katanya menjelaskan hujan lebih banyak dijangka selepas bermula fasa peralihan monsun sekitar pertengahan September hingga awal November depan.
Muhammad Helmi berkata, hujan masih boleh turun di beberapa tempat dalam kuantiti sederhana, terutama di utara dan pedalaman Semenanjung, Sabah serta Sarawak.
Mengenai keadaan laut di utara Semenanjung yang mengalami ombak tinggi hingga empat meter dan sukar dilalui feri di antara Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi meskipun negara dilanda cuaca panas, beliau berkata, ia disebabkan penumpuan angin kencang dari Laut Andaman.
“Angin kencang bergerak melintasi Segenting Kra dan utara Semenanjung kerana kehadiran ribut siklon tropika di Laut China Selatan beberapa hari sebelum ini. Ombak sudah kembali normal setelah berakhirnya ancaman ribut siklon tropika berkenaan,” katanya.
Mengenai beberapa kawasan tadahan air di Kelantan, Pulau Pinang seperti Sungai Muda, Kedah terutama Tasik Pedu dan Perak seperti Taman Tasik Taiping yang kering kontang, katanya, ia mungkin berkait rapat dengan fenomena El-nino kuat sejak pertengahan 2023 sehingga bulan lalu.
“Ia berlarutan kerana bersambung pula dengan musim Monsun Barat Daya yang lazimnya bawa cuaca lebih kering. El-nino selalu dikaitkan dengan cuaca kering, La Nina pula yang dijangka bermula September ini sehingga pertengahan 2024, lazimnya bawa cuaca lebih lembap ke negara kita,” katanya.