BELUM TAHAP KEMARAU
- Admin UKK
- Berita
Cuaca di Malaysia belum mencapai tahap kemarau, sebaliknya cuaca sekarang sedang dipengaruhi oleh musim Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga September depan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, sepanjang tempoh itu secara umumnya kebanyakan kawasan di Malaysia akan mengalami cuaca kering berikutan kurangnya penumpuan udara lembap untuk menghasilkan hujan.
Menurutnya, hujan yang lebih banyak akan mula berlaku selepas bermula fasa peralihan monsun yang diperti jangka bermula sekitar pertengahan September sehingga awal November.
“Musim Monsun Barat Daya kelazimannya membawa angin yang kering dari arah Sumatera dan Kalimantan menyebabkan kurang berlakunya hujan di negara kita.
“Keadaan cuaca akan menjadi lebih kering sekiranya berlakunya pembentukan ribut siklon tropika di barat Lautan Pasifik dan Laut China Selatan.
“Setakat ini, tiada jangkaan pembentukan ribut siklon tropika di Laut China Selatan dan barat Lautan Pasifik dalam masa terdekat,” katanya.
Muhammad Helmi berkata, sehubungan itu cuaca hujan masih boleh berlaku di beberapa tempat dalam kuantiti yang sederhana terutamanya bagi kawasan utara dan pedalaman semenanjung, pedalaman Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, katanya, keadaan ombak besar yang berlaku di utara semenanjung adalah disebabkan oleh penumpuan angin kencang dari Laut Andaman yang bergerak di melintasi Segenting Kra dan utara semenanjung berikutan kehadiran ribut siklon tropika di Laut China Selatan sejak beberapa hari yang lalu.
“Keadaan ombak kembali normal bermula daripada kelmarin (Ahad) selepas berakhirnya ancaman ribut siklon tropika berkenaan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan situasi beberapa kawasan negeri utara semenanjung yang dilanda musim kemarau sehingga tiada air sedi Kelantan, Pulau Pinang (Sungai Muda), Kedah, Taman Tasik Taiping, Perak yang kering kontang dan beberapa lokasi lain.
“Situasi cuaca kering di beberapa kawasan di negara kita mungkin berkait rapat dengan fenomena El-Nino kuat yang berlaku sejak pertengahan 2023 sehingga bulan lalu.
“Keadaan ini terus berlarutan kerana bersambung pula dengan musim Monsun Barat Daya yang kelazimannya membawa cuaca lebih kering berbanding musim lain.
“Fenomena El-Nino selalu dikaitkan dengan cuaca kering, manakala La-Nina yang dijangka bermula pada September nanti sehingga pertengahan tahun hadapan lazimnya membawa cuaca lebih lembap kepada negara kita,” katanya.
“Setakat ini, tiada jangkaan pembentukan ribut siklon tropika di Laut China Selatan dan barat Lautan Pasifik dalam masa terdekat”