Mampu tampung bekalan hingga September
- Admin UKK
- Berita
Yan: Takungan air di Empangan Beris, di sini, dijangka dapat bertahan sehingga September ini bagi menampung bekalan air domestik untuk Kedah dan Pulau Pinang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, ketika ini, Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) melepaskan 10 juta liter padu air dari Empangan Beris bagi menstabilkan paras Sungai Muda yang menjadi sumber bekalan dua negeri berkenaan.
Katanya, Empangan Beris masih mempunyai simpanan air yang memuaskan untuk digunakan ketika waktu kecemasan akibat penyusutan paras air di Empangan Muda.
“Kalau tak lepas air empangan, memang Syarikat Air Darul Aman (Sada) tak boleh nak sedut air untuk diproses. Jadi, Empangan
Beris kita lepas pada waktu tertentu dan ini antara usaha kita,” katanya yang ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Empangan Sabo Titi Hayun, semalam.
Mengulas lanjut, Mohamad Yusoff berkata, bagi mengatasi gangguan bekalan air pada musim kemarau, kerajaan negeri melalui Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) turut bercadang membina kolam takungan air pinggiran sungai (Taps).
Katanya, cadangan itu sudah diluluskan di peringkat kajian dan pelaksanaannya akan dipercepat supaya Kedah dapat menakung air di pinggiran sungai segera.
“Buat masa sekarang, pengguna diminta untuk menggunakan air secara berhemah, tetapi kalau tiada bekalan air, bagaimana hendak berhemah.
“Apapun, kita akan cari jalan untuk pastikan pengguna di Kedah terima bekalan air,” katanya.