Sistem DGIM diperluas semua negeri - NADMA
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Bagi memastikan pengurusan bencana yang lebih cekap dan berkesan, penggunaan sistem Pengurusan Maklumat Geospatial Pertahanan (DGIM) akan diperluaskan di semua negeri.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata usaha itu satu nilai tambah bagi proses penyediaan laporan situasi bencana melalui kebolehcapaian data yang terkini secara lebih menyeluruh.
Sehubungan itu, bagi merealisasikan hasratberkenaan, NADMA menganjurkan bengkel membabitkan semua kerajaan negeri, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Bengkel secara 'hands on' ini adalah langkah ke hadapan NADMA untuk meningkatkan lagi tahap kesiapsiagaan negara menghadapi bencana dengan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi terkini dalam bidang GIS khususnya ketika bencana banjir Monsun Timur Laut (MTL).
"Penggunaan sistem DGIM yang sudah tersedia ini juga akan menjimatkan kosselaras denganusaha kerajaan mendigitalkan pengurusan bencana di seluruh negara.
"Ini kerana kerajaan negeri tidak perlu melantik perunding ataupun konsultan luar bagi membangunkan sistem secara berasingan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairul Shahril berkata pada masa sama, penggunaan sistem DGIM akan meningkatkan lagi tahap kompetensi pegawai dalambidang Geographic Information System (GIS),bagi tujuan pengurusan bencana.
Memperincikan sistem terbabit, katanya ia berteraskan perkongsian data spatial dalam aplikasi GIS pelbagai agensi yang dibangunkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM).
Melalui sistem DGIM, Pusat Kawalan Operasi Bencana (NDCC) di bawah NADMA membangunkan Dashboard Pengurusan Bencana (DPB) bagi membolehkan agensi itu selaku pusat tumpuan' pengurusan bencana negara memantau situasi bencana semasa.
"Melalui sistem ini, ia membolehkan pengguna mengakses pelbagai data mengenai sesuatu kawasan yang sedang dilanda bencana dengan cepat dan mudah kerana data terbabit dikongsi oleh pelbagai agensi dalam satu pangkalan data sahaja.
"Antaranya data mengenai jumlah penduduk, jenis guna tanah, kawasan hot spot banjir, lokasi projek tebatan banjir,kawasan cerun berisiko, lokasi Pejabat Daerah, lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan jumlah kemudahan serta utiliti awam," katanya.
Khairul Shahril turut memaklumkan, bengkel yang berlangsung di NDCC itu, dijalankan selama 3 hari dan berakhir hari ini.
Secara keseluruhan, ia membabitkan 46 peserta membabitkan tenaga pengajar daripada NADMA dan JUPEM.