‘Air naik sangat cepat, tak sempat alih perabot’
- Admin UKK
- Berita
Seremban: “Kejadian banjir kilat kali ini agak teruk walaupun tidak seteruk pada 2008, apabila air naik dan memenuhi kawasan dalam dan halaman rumah setinggi hampir paras lutut.
“Kami tidak sempat menyelamatkan beberapa barangan terutama perabot kerana kejadian itu berlaku dengan cepat pada jam 5 pagi, Khamis lalu ketika ahli keluarga sedang tidur,” kata Muhammad Iqbal Ramli, 32, antara penduduk Kampung Paroi, di sini yang dilanda banjir kilat pagi Khamis lalu.
Kakitangan swasta berkenaan berkata, ketika dia sedar, air sungai berhampiran kediamannya melimpah dan memenuhi sebahagian kawasan kediaman penduduk kampung.
“Air naik begitu cepat selepas hujan lebat sepanjang malam, kami tak jangka banjir boleh menimpa kampung ini.
“Kali terakhir kampung ini mengalami banjir kilat pada 2008. Saya tak berapa pasti apa puncanya, tapi difahamkan ada kerja membuat jalan baharu di laluan Seremban-kuala Pilah berhampiran Ulu Bendul ketika ini.
“Ada kemungkinan ia menjadi salah satu faktor menyebabkan banjir ini,” katanya ketika ditemui selepas lawatan Menteri Luar merangkap Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan, di kampung itu, petang kelmarin.
Kabin dibina pecah
Sementara itu, Mohamad berkata, sebanyak 42 rumah terbabit dalam kejadian banjir kilat.
Beliau berkata, sebelum ini Sungai Paroi pernah digali dan dibuat kabin sebagai langkah mengatasi masalah banjir di kawasan sekitar tetapi pihaknya mendapati terdapat tiga tempat kabin didapati pecah.
“Jadi saya minta kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membetulkan
kabin yang telah pecah itu supaya tebing sungai tidak runtuh, yang boleh memburukkan lagi keadaan.
“Saya dimaklumkan, pihak JPS Negeri Sembilan telah melawat kawasan ini, namun saya akan menghubungi pengarah JPS negeri untuk melihat apa pandangan serta cadangan mereka dalam mengatasi masalah ini,” katanya.
Mohamad berkata, tindakan proaktif daripada pihak berkuasa perlu untuk memastikan banjir kilat di kampung itu tidak berulang.
“Bila banjir banyak kemusnahan harta benda berlaku. Saya akan cuba bawa cadangan atau pandangan daripada JPS negeri ke peringkat Persekutuan agar masalah yang dialami Kampung Paroi ini ditangani,” katanya.