JOHOR BAHRU, 13 April – Malaysia akan menghantar seramai 35 pegawai perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Myanmar bagi melaksanakan misi kemanusiaan susulan bencana gempa bumi yang melanda negara itu pada 28 Mac lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penghantaran itu merupakan sebahagian daripada cadangan penubuhan Hospital Medan Malaysia di Myanmar, setelah Kerajaan Persekutuan secara prinsip bersetuju terhadap pelaksanaannya.
“Kapasiti dan lokasi hospital medan ini akan ditentukan selepas mendapat kelulusan dan kebenaran daripada Kerajaan Myanmar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sebuah stesen minyak baharu di Bandar Seri Alam, di sini.
Menurut Mohamed Khaled, Malaysia juga akan memohon kerjasama daripada Kerajaan Myanmar untuk mengenal pasti kawasan yang selamat bagi pengoperasian hospital berkenaan.
Hospital medan tersebut akan menumpukan kepada rawatan ortopedik dan trauma, termasuk menyediakan pembedahan kecemasan bagi mangsa yang mengalami kecederaan seperti patah tulang.
“Rawatan ini penting untuk mengurangkan risiko kecacatan dalam kalangan mangsa yang terlibat,” tambah beliau.
KUALA LUMPUR: Malaysia masih menunggu keputusan Myanmar berhubung penghantaran pegawai perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi melaksanakan misi kemanusiaan susulan gempa bumi yang melanda negara itu pada 28 Mac lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pasukan perubatan sudah membuat persediaan rapi bagi mewujudkan hospital medan di Myanmar.
"Kita (kementerian) sememangnya sudah bersedia, malah kita juga beritahu sedia hantar pada 16 April iaitu esok apabila kerajaan bersetuju menampung segala keperluan dan perbelanjaan mewujudkan Hospital Medan.
"Kita hanya menunggu pihak Myanmar memberikan 'lampu hijau' di mana hospital ini hendak diwujudkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Peringkat Kementerian Pertahanan di Kem Kementah di sini, hari ini.
Terdahulu, Malaysia dilapor akan menghantar 35 pegawai perubatan ATM ke Myamnar bagi melaksanakan misi kemanusiaan susulan bencana gempa bumi yang berlaku di negara itu.
Mohamed Khaled dilaporkan berkata, cadangan itu dibuat selepas kerajaan bersetuju mendirikan Hospital Medan di negara itu.
Perdana Menteri meluluskan secara dasar untuk negara menghantar hospital medan ke Myanmar seperti mana pernah diberikan kepada Turkiye sebelum ini berdasarkan keperluan rakyat negara itu yang memerlukan kemudahan serta bahan perubatan.
KOTA BHARU - Tujuh keluarga anak perantau Kelantan yang terlibat dalam kejadian kebakaran saluran gas di Putra Heights, Selangor pada 1 April lalu menerima sumbangan khas sebanyak RM5,000 setiap satu dan peralatan elektrik daripada kerajaan negeri Kelantan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, bantuan wang tunai dan barangan asas berkenaan bagi membantu meringankan beban mangsa pada pasca tragedi.
“Sumbangan ini sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab kerajaan negeri terhadap rakyat Kelantan yang berada di perantauan, khususnya mereka yang ditimpa musibah besar seperti ini.
“Daripada tujuh keluarga itu, satu keluarga adalah penduduk dari Temangan iaitu dari Dewan Undangan Negeri (DUN) saya sendiri, seorang lagi dari DUN Meranti, kawasan menteri besar manakala lima lagi kawasan lain di negeri ini,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Kebudayaan Islam 2025 di Pusat Tarbiah Islamiah (Putik) Pengkalan Chepa di sini pada Isnin.
Sumbangan tersebut diserahkan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dalam satu majlis ringkas di Selangor pada Ahad.
Mohamed Fadzli berkata, beliau juga sudah menghubungi mangsa dari kawasannya itu sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian.
Sebelum ini dilaporkan, kebakaran saluran gas terbabit mengakibatkan api menjulang hingga lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.
Insiden tersebut dilaporkan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Selain itu, kerajaan negeri juga menyerahkan sumbangan sebanyak RM500,000 kepada kerajaan Selangor sebagai solidariti dan simbolik persaudaraan antara negeri.
Bukit Gantang: "Masa angin angkat bumbung, saya terketar-ketar sambil memegang erat cucu," kata Rosnani Che Meh, salah seorang daripada hampir 100 mangsa ribut di beberapa penempatan di sini, petang semalam.
Rosnani, 52, berkata, pada jam 4.45 petang, dia dan cucu lelaki berusia empat bulan berada di dalam bilik tidur utama.
Menurutnya, ketika sedang leka bermain dengan cucu, tiba-tiba kediaman seperti digoncang dan dia melihat bumbung utama diangkat beberapa kali sebelum tercabut.
"Melihat kejadian itu, saya memeluk erat cucu yang dalam keadaan menangis akibat terkejut.
"Bimbang berlaku kejadian tidak diingini, saya cuba keluar dari bilik namun pintu bilik terhalang oleh angin kuat.
"Beberapa kali saya cuba buka pintu namun gagal, selepas seorang anak melaungkan azan, pintu akhirnya dapat dibuka dan kami segera berlari ke luar rumah bagi menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di kediamannya selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.
Akibat kejadian ribut itu, kediaman Rosnani mengalami kerosakan teruk dan terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
"Saya amat berharap bantuan dari pihak berkaitan segera membaiki kediaman saya," katanya.
Sementara itu, Syed Abu Hussin Hafiz berkata, pihaknya sudah melantik kontraktor tempatan untuk membaik pulih bumbung rumah yang rosak pada hari ini.
Menurutnya, dianggarkan hampir 100 rumah di Taman Ria, Taman Kaya, Taman Damai dan Kampung Pak Darus rosak akibat ribut.
Dalam pada itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak memaklumkan seramai 27 mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Taman Kaya manakala 75 mangsa daripada 17 keluarga di Perak Tengah, ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Jejawi.
HULU SELANGOR: Sekurang-kurangnya 10 rumah rosak susulan kejadian ribut dan hujan lebat yang melanda Kampung Seberang, FELDA Gedangsa, Hulu Bernam, di sini semalam.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, bahagian belakang dua daripada kediaman terbabit dihempap pokok tumbang.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Hulu Selangor, Leftanan (PA) Mohd Faizal Mohd Sharif berkata, sepasukan tiga anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan berhubung kejadian.
"Hasil pemantauan mendapati rumah yang terjejas mengalami kerosakan pada bumbung. Bagaimanapun, keadaan adalah baik dan terkawal.
"Kerja mengagihkan pokok tumbang kemudian dijalankan pasukan penyelamat bersama penduduk kampung," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Faizal berkata, sebatang pokok berjaya dialihkan manakala sebatang lagi disambung hari ini susulan keadaan cuaca yang gelap dan berisiko.