OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

Tanah runtuh: Jalan ditutup 2 hari untuk kerja pembersihan

BALIK PULAU : Jalan Tun Sardon atau Jalan Negeri P14 di sini terpaksa ditutup selama dua hari bermula pukul 6 petang tadi susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku hari ini.

Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, penutupan itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan jalan dan lain-lain kerja berkaitan oleh kontraktor yang terlibat.

Sehubungan itu, jabatan tersebut menasihatkan agar pengguna jalan raya menggunakan laluan alternatif dan merancang perjalanan dengan sebaiknya.

Terdahulu, satu kejadian tanah runtuh dilapor berlaku di situ iaitu berhampiran kawasan bukit Anjung Indah. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, John Sagun Francis berkata, panggilan kecemasan mengenai kejadian it diterima kira-kira pukul 4.56 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau kemudian dikerah ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja pembersihan awal termasuk pengalihan pokok-pokok yang tumbang merintangi jalan berkenaan.

“Keadaan buat masa ini masih terkawal dan kawasan tersebut telah diserahkan kepada JKR dan pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya yang turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati ketika melalui laluan berbukit terutamanya ketika musim hujan bagi mengelakkan terperangkap dengan kejadian tanah runtuh.-UTUSAN

Tiada apa lagi hendak diselamatkan

TUMPAT - Mangsa banjir di beberapa daerah di negeri ini bersedia jika bencana lebih besar berlaku namun berdoa agar hujan lebat tidak berlarutan.

Ini kerana mereka sudah penat menghadapi banjir selain ada yang telah kehilangan harta benda dalam banjir sebelum ini.

Seorang tukang perak di Kampung Jal Besar di sini, Azmie Omar, 46, mengakui bimbang gelombang kedua akan lebih besar berdasarkan ramalan pihak berkaitan.

Azmie yang belum siap mengemas rumah selepas air surut dua hari lalu berharap keadaan cuaca lebih baik sehingga Januari tahun depan.

“Ketika banjir minggu lalu, air di kawasan rumah saya naik dengan cepat sehingga mencecah satu meter dan memenuhi ruang dapur.

“Memang situasi itu sangat memenatkan selain kami tidak dapat bekerja kerana perlu membersihkan rumah bagi mengelakkan bau,” katanya ketika keluar membeli peralatan mencuci rumah pada Sabtu.

Suri rumah dari Kampung Pasir Era, Kuala Krai Nazira Abd Ghani, 48, pula memberitahu, penduduk sudah bersedia menghadapi gelombang kedua selepas melalui pengalaman sebelum ini.

Menurutnya, beberapa penduduk kampung sepakat membina khemah di atas bukit, kira-kira dua kilometer dari kampung berkenaan ketika gelombang pertama baru-baru ini.

Menceritakan pengalaman menghadapi bencana banjir lebih seminggu lalu, Nazira berkata, dia terpaksa membawa keluar ibunya yang mengalami masalah bengkak usus selain anak saudaranya yang baru 11 hari melahirkan bayi ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Apabila banjir surut, salah seorang kakak saya mengambil mereka di PPS itu dan kini tinggal buat sementara di Machang,” katanya.

Tambahnya, ramalan hujan berterusan sehingga 14 Disember ini juga antara sebab dia tidak membenarkan ibunya pulang ke rumah.

Sementara itu, mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Gual To' Deh, Rantau Panjang, Mohd Hafizi Zakaria, 32, berkata, rumah ibunya kini hanya tinggal bumbung dan tiada perkakas atau peralatan elektrik yang dapat diselamatkan.

“Bagi saya gelombang pertama atau kedua sudah tiada bezanya lagi kerana tidak ada barang lagi yang boleh diselamatkan,” katanya.

Mohd Hafizi memberitahu, banjir kali ini luar biasa kerana lebih banyak rumah ditenggelami banjir.

 

Previous Next

18 April 2024 - Taklimat & lawatan ke UNIKL Lumut untuk melihat ruang kolaborasi program CSR & CBDRM NADMA-UNIKL. YBrs. En Hussain bin Moh, Timbalan Ketua Pengarah Pasca Bencana NADMA telah berkunjung ke UNIKL MIMET Lumut, Perak untuk meneroka dan memperhalusi program dan kerjasama berkaitan pemerkasaan komuniti termasuk penyelenggaraan dan pembinaan bot untuk komuniti yang terpilih.

 

Kawasan hutan di Bintang Hijau terbakar

GERIK - Kawasan hutan seluas empat hektar berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Bintang Hijau dekat Sungai Rui di sini terbakar akibat cuaca panas pada Jumaat.

Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Gerik pada jam 12.27 tengah hari melibatkan lalang di tepi jalan, daun dan kayu kering hutan bukit setinggi 700 meter.

 

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kebakaran dapat dikawal pada jam 1.16 petang dengan hanya sisa-sisa kecil api di atas bukit.

Menurutnya, operasi pemadaman dilakukan menggunakan pancutan air dari jentera tangki air bomba serta pam racun dan pemerap api.

"Cuaca panas dan kering serta keadaan berangin menyebabkan api marak dengan cepat menyebabkan kawasan terlibat agak besar.

"Bagaimanapun, kebakaran ini tidak melibatkan pokok-pokok besar kerana corak kebakaran hanya di permukaan hutan sahaja," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat. 

Beliau berkata, operasi pemadaman telah ditangguhkan pada jam 7 malam tadi dan akan disambung esok.

Katanya, pemantauan berterusan masih dilakukan di kawasan sekitar secara berkala malam ini bagi memastikan sisa-sisa kebakaran dipadamkan sepenuhnya. "Ini untuk memastikan tiada lagi sumber nyalaan yang boleh menyebabkan api merebak semula," katanya.

Mangsa banjir di Terengganu, Pahang menurun, Johor kekal

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Pahang dan Johor mencatatkan seramai 698 orang di enam pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 12 tengah hari ini.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sebanyak 647 mangsa daripada 194 keluarga di Terengganu masih ditempatkan di empat PPS di Dungun, berbanding 923 orang daripada 275 keluarga pagi tadi.

Di Pahang, jumlah mangsa juga menurun iaitu 22 orang daripada lima keluarga masih ditempatkan di sebuah PPS di Rompin manakala di Johor jumlah mangsa kekal 29 orang daripada sembilan keluarga di satu PPS di Kota Tinggi.

Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai masih berada pada paras bahaya. 

Antaranya ialah Sungai Johor di Kota Tinggi (Johor); Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah); Sungai Golok di Pasir Mas (Kelantan); Sungai Rompin dan Sungai Pahang (Pahang); Sungai Arau (Perlis); Sungai Kinabatangan (Sabah); Sungai Klang di Petaling (Selangor); Sungai Dungun dan Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu).

 

NADMA turut memaklumkan 19 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak serta jalan dan cerun runtuh antaranya Jalan Raya Timur Barat Hulu Perak, Perak; Jalan Sungai Lembing di Kuantan, Pahang; dan Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu. – BERNAMA

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search