Tiada apa lagi hendak diselamatkan
- Admin UKK
- Korporat
TUMPAT - Mangsa banjir di beberapa daerah di negeri ini bersedia jika bencana lebih besar berlaku namun berdoa agar hujan lebat tidak berlarutan.
Ini kerana mereka sudah penat menghadapi banjir selain ada yang telah kehilangan harta benda dalam banjir sebelum ini.
Seorang tukang perak di Kampung Jal Besar di sini, Azmie Omar, 46, mengakui bimbang gelombang kedua akan lebih besar berdasarkan ramalan pihak berkaitan.
Azmie yang belum siap mengemas rumah selepas air surut dua hari lalu berharap keadaan cuaca lebih baik sehingga Januari tahun depan.
“Ketika banjir minggu lalu, air di kawasan rumah saya naik dengan cepat sehingga mencecah satu meter dan memenuhi ruang dapur.
“Memang situasi itu sangat memenatkan selain kami tidak dapat bekerja kerana perlu membersihkan rumah bagi mengelakkan bau,” katanya ketika keluar membeli peralatan mencuci rumah pada Sabtu.
Suri rumah dari Kampung Pasir Era, Kuala Krai Nazira Abd Ghani, 48, pula memberitahu, penduduk sudah bersedia menghadapi gelombang kedua selepas melalui pengalaman sebelum ini.
Menurutnya, beberapa penduduk kampung sepakat membina khemah di atas bukit, kira-kira dua kilometer dari kampung berkenaan ketika gelombang pertama baru-baru ini.
Menceritakan pengalaman menghadapi bencana banjir lebih seminggu lalu, Nazira berkata, dia terpaksa membawa keluar ibunya yang mengalami masalah bengkak usus selain anak saudaranya yang baru 11 hari melahirkan bayi ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Apabila banjir surut, salah seorang kakak saya mengambil mereka di PPS itu dan kini tinggal buat sementara di Machang,” katanya.
Tambahnya, ramalan hujan berterusan sehingga 14 Disember ini juga antara sebab dia tidak membenarkan ibunya pulang ke rumah.
Sementara itu, mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Gual To' Deh, Rantau Panjang, Mohd Hafizi Zakaria, 32, berkata, rumah ibunya kini hanya tinggal bumbung dan tiada perkakas atau peralatan elektrik yang dapat diselamatkan.
“Bagi saya gelombang pertama atau kedua sudah tiada bezanya lagi kerana tidak ada barang lagi yang boleh diselamatkan,” katanya.
Mohd Hafizi memberitahu, banjir kali ini luar biasa kerana lebih banyak rumah ditenggelami banjir.
18 April 2024 - Taklimat & lawatan ke UNIKL Lumut untuk melihat ruang kolaborasi program CSR & CBDRM NADMA-UNIKL. YBrs. En Hussain bin Moh, Timbalan Ketua Pengarah Pasca Bencana NADMA telah berkunjung ke UNIKL MIMET Lumut, Perak untuk meneroka dan memperhalusi program dan kerjasama berkaitan pemerkasaan komuniti termasuk penyelenggaraan dan pembinaan bot untuk komuniti yang terpilih.
GERIK - Kawasan hutan seluas empat hektar berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Bintang Hijau dekat Sungai Rui di sini terbakar akibat cuaca panas pada Jumaat.
Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Gerik pada jam 12.27 tengah hari melibatkan lalang di tepi jalan, daun dan kayu kering hutan bukit setinggi 700 meter.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kebakaran dapat dikawal pada jam 1.16 petang dengan hanya sisa-sisa kecil api di atas bukit.
Menurutnya, operasi pemadaman dilakukan menggunakan pancutan air dari jentera tangki air bomba serta pam racun dan pemerap api.
"Bagaimanapun, kebakaran ini tidak melibatkan pokok-pokok besar kerana corak kebakaran hanya di permukaan hutan sahaja," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, operasi pemadaman telah ditangguhkan pada jam 7 malam tadi dan akan disambung esok.
Katanya, pemantauan berterusan masih dilakukan di kawasan sekitar secara berkala malam ini bagi memastikan sisa-sisa kebakaran dipadamkan sepenuhnya. "Ini untuk memastikan tiada lagi sumber nyalaan yang boleh menyebabkan api merebak semula," katanya.
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Pahang dan Johor mencatatkan seramai 698 orang di enam pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 12 tengah hari ini.
Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sebanyak 647 mangsa daripada 194 keluarga di Terengganu masih ditempatkan di empat PPS di Dungun, berbanding 923 orang daripada 275 keluarga pagi tadi.
Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai masih berada pada paras bahaya.
Antaranya ialah Sungai Johor di Kota Tinggi (Johor); Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah); Sungai Golok di Pasir Mas (Kelantan); Sungai Rompin dan Sungai Pahang (Pahang); Sungai Arau (Perlis); Sungai Kinabatangan (Sabah); Sungai Klang di Petaling (Selangor); Sungai Dungun dan Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu).
NADMA turut memaklumkan 19 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak serta jalan dan cerun runtuh antaranya Jalan Raya Timur Barat Hulu Perak, Perak; Jalan Sungai Lembing di Kuantan, Pahang; dan Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu. – BERNAMA
Percepat pelan mitigasi banjir
- Admin UKK
- Korporat
SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan dan negeri didesak mempercepatkan pelan mitigasi banjir di beberapa kawasan berisiko Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning bagi menangani bencana itu daripada terus menghantui penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan berkata, sebanyak RM100 juta diperuntukkan kerajaan Persekutuan bagi pelan mitigasi banjir dan berharap pelaksanaan projek itu memberikan bantuan kepada komuniti setempat.
"JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) telah memberikan kemas kini mengenai status projek-projek yang sedang dijalankan dan amat menghargai usaha mereka, namun kami mendesak agar projek tersebut dipercepatkan.
"Banjir berulang kali menyebabkan tekanan dan kerugian harta benda dan saya menegaskan ini masa paling sesuai untuk memberi keutamaan kepada rakyat berbanding projek mega yang boleh ditangguhkan," jelas beliau.
Beliau memberitahu, penduduk juga membangkitkan kerisauan mereka berhubung koordinasi antara agensi berkaitan bagi menyelesaikan isu banjir.
Ujarnya, ketiadaan koordinasi telah menyebabkan penderitaan penduduk dan pihaknya mendesak semua pihak bekerja secara bersatu serta cekap dalam menangani isu tersebut dengan segera.
"Untuk memastikan ketelusan dan memberikan maklumat kepada komuniti, saya akan memuat naik kemas kini berkaitan di laman Facebook, Instagram, aplikasi X dan TikTok.
"Kami sedang mengkaji situasi ini secara aktif, dan dengan tekad kami menetapkan sasaran untuk menangani kebimbangan ini secepat mungkin," tambah beliau.
Dalam pada itu, Preakas memberitahu, pemasangan pam skru yang sepatutnya siap pada Rabu berdepan masalah berikutan berlakunya pergerakan tanah yang tidak terduga.
Bagaimanapun, ujar beliau, tindakan segera telah diambil untuk mengukuhkan platform sebelum pembinaan stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersebelahannya dapat diteruskan.
"Kami mengakui kepentingan dan kecemasan dalam menangani perkara ini, selain berjanji untuk terus memantau dengan teliti dan bertindak secepat mungkin bagi menyelesaikan isu yang tidak dijangka ini demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti.
"Saya juga ingin mendapatkan laporan terperinci punca banjir semalam daripada MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) dan JPS dalam kadar segera supaya dapat mengambil tindakan seterusnya serta tidak boleh menerima sebarang kelewatan dan memandang hal ini serius."Keselamatan dan kesejahteraan penduduk DUN Kota Kemuning adalah keutamaan saya dan dengan komitmen tinggi, saya berjanji untuk terus bekerja tanpa henti dalam menyelesaikan isu-isu banjir yang terus mengganggu komuniti kita," jelas beliau.